Masuk final, habuan besar menanti - Utusan Malaysia

Masuk final, habuan besar menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 28 Jun – Bonus berganda menanti pasukan Perak jika berjaya mara ke final sekali gus membawa pulang Piala FA.

Itu janji Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelang pertemuan The Bos Gaurus menentang Pahang pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Perak malam esok.

Ahmad Faizal berharap, suntikan bonus itu dapat menjadi tonik untuk menaikkan semangat para pemainnya selepas mereka dibenamkan 1-3 oleh skuad Tok Gajah dalam aksi pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya Perak akan memberi tentangan hebat dalam aksi timbal balik ini walaupun Pahang datang dengan penuh semangat apabila mempunyai bekalan dua gol sebelum ini.

“Namun, saya lihat pemain Perak berlatih dengan semangat kental, justeru saya yakin mereka dapat memberikan tentangan serta dua gol tanpa bolos. Saya juga maklumkan bonus untuk semua pemain dan pengurusan jika mara ke final Piala FA,” katanya.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika hadir menyaksikan latihan para pemain di Stadium Perak di sini hari ini.

Tambah beliau, bonus berganda turut menanti skuad Perak jika mereka berjaya menjulang Piala FA dan membawanya pulang ke sini.

“Jadi, saya mahu para pemain fikirkan dengan lebih jauh iaitu membawa pulang Piala FA jika ingin mendapatkan kedua-dua bonus tersebut,” katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Shahrul Mohd. Saad berkata, tiada langkah lain untuk mara ke final melainkan menang dua jaringan atau lebih dalam aksi pertemuan esok.

“Kami akan memberikan komitmen 100 peratus di atas padang bagi memastikan kita dapat mara ke peringkat akhir,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula berikrar mahu menebus kesilapan yang dilakukan sebelum ini jika diberi peluang untuk beraksi pada malam esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini