Nadal lega jumpa Federer pada separuh akhir Wimbledon - Utusan Malaysia

Nadal lega jumpa Federer pada separuh akhir Wimbledon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Rafael Nadal, hari ini, menarik nafas lega selepas dia dijangka bertemu juara lapan kali, Roger Federer pada separuh akhir Wimbledon.

Nadal bimbang dia diundi bersama pilihan utama yang juga juara bertahan, Novak Djokovic dalam undian dan bertemu pemain itu pada separuh akhir, walaupun kedudukan Federer selaku pemain pilihan mengatasi jaguh tanah liat itu.

Bintang tenis Sepanyol tersebut yang diletakkan sebagai pilihan ketiga di belakang Federer, melemparkan kritikan pada awal minggu ini bahawa formula unik Wimbledon untuk menentukan kedudukan pemain yang menggabungkan mata ranking dengan pertandingan gelanggang rumput adalah satu perbuatan yang kurang sopan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemain No. 1 dunia, Djokovic secara teori akan berdepan pilihan keempat dari Afrika Selatan yang juga merupakan finalis tahun lalu, Kevin Anderson pada separuh akhir.

Nadal, yang merangkul 18 gelaran Grand Slam selepas memenangi buat kali ke-12 Terbuka Perancis termasuk mengalahkan Federer pada separuh akhir, perlu beraksi dengan baik jika berhajat untuk mara sehinggga ke peringkat empat terbaik memandangkan laluan sukar yang bakal diterimanya dalam undian.

Dia mungkin tidak berdepan masalah dalam pusingan pertama apabila turun beraksi menentang Yuichi Sugita dari Jepun.

Pemain bermasalah dari Australia, Nick Kyrgios yang menewaskan Nadal di peringkat 16 terbaik dalam Wimbledon 2014, berpotensi menjadi lawannya pada pusingan kedua dan pemain muda berbakat besar dari Kanada, Denis Shapovalov dijangka menantinya di pusingan ketiga.

Jika Nadal berjaya melepasi semua halangan tersebut, maka dia mungkin akan berdepan pula pemain Croatia yang merupakan finalis Wimbledon 2017, Marin Cilic di peringkat 16 terbaik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini