Antara harta paling banyak dimiliki orang Islam di Malaysia hari ini ialah polisi takaful. Ia sudah menjadi satu keperluan dan cara terbaik bagi menyediakan tunai segera untuk orang yang dikehendaki sekiranya kita meninggal dunia.
Malah, ia juga menjadi keperluan bagi diri sendiri apabila berlaku musibah seperti keilatan kekal.
Sebelum pengenalan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013, manfaat takaful hanya boleh diterima oleh penama atau pentadbir harta pusaka sahaja (jika tiada penamaan). Apabila manfaat itu dibayar kepada penama atau pentadbir harta pusaka, ia wajib diagihkan kepada waris peserta takaful mengikut hukum faraid.
Selepas pengenalan akta tersebut, benefisiari sebagai penerima hibah juga telah dimasukkan sebagai satu daripada pihak yang boleh menerima manfaat takaful.
Ini bermakna peserta takaful boleh menamakan sesiapa sahaja yang dikehendaki sebagai penerima hibah dan manfaat yang dibayar akan menjadi milik mutlak penerima hibah sepenuhnya. Dia tidak perlu mengagihkan manfaat itu kepada waris peserta takaful mengikut hukum faraid.
Kurang tepat
Walaupun begitu, ada ramai pihak di luar yang mempromosikan takaful ini dengan maklumat kurang tepat. Ada yang mengatakan peserta takaful boleh berpesan supaya manfaat takaful ini digunakan oleh penerima hibah untuk membayar hutang peserta takaful, sumbangan amal jariah atas nama peserta takaful dan menebus bahagian pusaka waris hukum faraid yang dianggap jauh hubungannya.
Selain itu ada juga pendapat, ia boleh mengagihkan manfaat ini kepada individu tertentu yang ditetapkan oleh peserta takaful, menampung kos pengurusan pusaka peserta takaful dan lebih teruk lagi apabila ada yang berhujah ‘lebih baik buat hibah daripada faraid’.
Namun, hujah ini sebenarnya menyimpang daripada hakikat sebenar. Apabila penerima hibah menerima manfaat takaful, ia adalah milik mutlaknya dan tidak bertanggungjawab baik dari segi undang-undang mahupun hukum syarak untuk memenuhi pesanan peserta takaful seperti di atas.
Terserahlah kepadanya untuk membelanjakan manfaat itu mengikut hasratnya sendiri. Jika dia melaksanakan pesanan di atas, itu hanyalah di atas budi bicaranya. Tiada jaminan bahawa arahan itu akan dipatuhinya.
Salah faham
Ada juga yang menghujahkan manfaat takaful yang diterima penerima hibah ini boleh menjadi pengganti pendapatan untuk penerima hibah. Saya rasa istilah ini juga kurang tepat.
Pengganti pendapatan dalam konteks yang lebih tepat ialah jika peserta takaful itu semasa hidupnya berpendapatan RM10,000 sebulan, maka selepas kematiannya, penerima hibah juga akan menerima RM10,000 sebulan dan boleh mengekalkan cara hidup seperti ketika peserta takaful masih hidup.
Jika manfaat yang diterima secara sekali gus dari syarikat takaful itu bernilai RM1 juta, itu bukan pengganti pendapatan, itu ‘rezeki terpijak’. Tiada jaminan RM1 juta ini akan bertahan lama bagi menampung keperluan hidup penerima hibah.
Seperkara lagi yang perlu dilihat oleh peserta takaful ialah apabila manfaat takaful itu sudah dikreditkan ke dalam akaun penerima hibah dan dia pula meninggal dunia selepas itu, manfaat tersebut dianggap harta pusakanya dan wajib diagihkan kepada warisnya mengikut hukum faraid.
Sekiranya penerima hibah itu isteri peserta takaful dan warisnya pula ialah anak-anak peserta takaful bersama isterinya itu sahaja, keadaan agak mudah.
Hibah takaful
Tetapi jika selepas kematian peserta takaful, isterinya berkahwin semula dengan suami baharu dan mendapat anak baharu, waris isteri (penerima hibah) ini sudah terdiri daripada suami baharu, anak baharu dan anak-anak bersama peserta takaful.
Senang atau susah proses itu berjalan? Ada jaminan tak bahawa isteri (penerima hibah) itu tidak berkahwin semula selepas kematian peserta takaful?
Agak-agak memang peserta takaful bersusah payah membayar premium bulanan supaya manfaatnya turut dinikmati oleh isteri dan keluarga barunya? Kesemua persoalan ini akan saya ceritakan penyelesaiannya dalam artikel mendatang.
Tidak dinafikan pengenalan hibah takaful ini amat baik dan perbualan saya dengan beberapa ketua pegawai eksekutif syarikat takaful mengesahkan terdapat lonjakan kadar pengambilan yang sangat signifikan selepas 2013.
Ini perkembangan yang sangat positif kerana polisi takaful memang sangat penting dan keperluan yang mesti ada dalam situasi hidup hari ini bagi mengimbangi risiko.
Namun, pengenalan hibah takaful ini juga membawa cabaran baharu. Pemain industri perlu mempromosi takaful dengan maklumat tepat terutama berkaitan hibah takaful supaya masyarakat tidak terkeliru.
Untung betul sesiapa yang sudah mempunyai polisi takaful namun, perancangan bagaimana manfaat takaful itu ingin digunakan perlulah dibuat dengan kaedah yang tepat mengikut undang-undang dan hukum syarak bagi mencapai matlamat asal peserta takaful.











