KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memulakan siasatan berkenaan harga tinggi simen dikeluarkan oleh CMS Cement Sdn. Bhd. (CMS) yang merupakan monopoli dalam pengeluaran simen di Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, kementeriannya dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bekerjasama dalam menjalankan penilaian terhadap pasaran simen di Malaysia.
Katanya, penilaian tersebut juga telah memberi gambaran kesuluruhan industri secara holistik dan analisis struktur pasaran simen di Sarawak.
“Berasaskan penilaian MyCC, pihak kementerian mendapati CMS mempunyai kelebihan kompetitif sebagai pembekal simen tunggal yang berintegrasi menegak dalam rantaian bekalan dan merupakan pengimport simen terbesar di Sarawak.
“Pada masa yang sama, terdapat kekangan untuk membangunkan kilang pengeluaran simen di Sarawak dan modal yang besar juga diperlukan bagi menjamin pengeluaran simen yang konsisten dalam pasaran yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Saifuddin Nasution, pihak kementerian mendapati terdapat beberapa perubahan harga yang dilakukan oleh CMS pada tahun 2011, 2014 dan 2016.
Jelasnya, bersandarkan data yang dibekalkan olehLembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan analisis oleh MyCC, pihak kementerian mendapati terdapat perbezaan harga simen adalah sekitar 57 peratus bagi 50 kilogram beg dan 40 peratus bagi simen pukal antara Semenanjung terutamanya di Selangor dan Sarawak.
“Pihak kementerian telah mengambil langkah untuk menyiasat sama ada CMS memenuhi keperluan lesen yang dikeluarkan dan mendapat kebenaran untuk meningkatkan harga.
“Kami telah menghantar notis untuk mendapat maklumat harga berkenaan perbezaan harga yang ketara simen dari pemain industri di Sarawak,” katanya.-UTUSAN ONLINE











