LAUSANNE – AC Milan digantung daripada bola sepak Eropah, musim depan, setelah kelab itu didapati melanggar peraturan kewangan fair play, umum Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), hari ini.
UEFA menuduh kelab tersebut melanggar peraturan kewangan fair plar (FFP) sejak tiga musim lalu dan keputusan CAS berpihak kepada badan induk bola sepak Eropah itu.
Mahkamah memutuskan AC Milan tidak dibenarkan menyertai pertandingan kelab UEFA bagi musim 2019/2020 ekoran pelanggaran peraturan FFP sejak tiga musim lalu.
UEFA pada awalnya mendapati kelab gergasi Itali itu, yang melayakkan diri beraksi dalam Liga Europa, musim depan, didapati bersalah pada Jun tahun lalu kerana melanggar peraturan kewangan yang mengehadkan perbelanjaan kelab bersesuaian dengan pendapatan mereka.
Bagaimanapun, CAS merujuk semula kes tersebut kepada UEFA kerana berpendapat penggantungan beraksi daripada pertandingan Eropah adalah tidak sesuai.
Ekoran keputusan tersebut, UEFA membuat penangguhan dan akhirnya, hari ini, satu persetujuan bersama telah dicapai antara UEFA, kelab dan CAS.
Pengumuman itu dibuat berikutan keputusan kelab untuk mengguna pakai sekatan perbelanjaan dalam tempoh beberapa bulan dengan tujuan untuk mengukuhkan kembali kedudukan kewangan AC Milan ke tahap lebih baik, yang mana ia turut menyaksikan pemergian jurulatih Gennaro Gattuso.
Kelab gergasi Serie A itu yang terlepas slot Liga Juara-Juara dengan hanya keciciran satu mata kepada Inter, adalah antara beberapa buah kelab termasuk Paris Saint-Germain dan Manchester City yang disiasat kerana melanggar peraturan UEFA, di mana kelab tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan mereka.
AC Milan didapati melanggar peraturan kewangan UEFA selepas mereka berbelanja 200 juta euro (RM941 juta) pada jendela perpindahan musim panas 2017.
Bagaimanapun, kelab itu menegaskan, kewangan kelab sepatutnya mampu dipulihkan di bawah pengurusan Elliott Management Corporation yang mengambil alih AC Milan daripada pemilik sebelum ini Li Yonghong dari China yang gagal menjelaskan pinjaman yang dibuatnya untuk membeli kelab kepada bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi pada 2017. – AFP











