ALOR SETAR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, meskipun piagam kerjasama parti itu dan Pas hanya akan dimuktamadkan bulan depan, namun persefahaman awal telah pun dicapai iaitu tidak akan berlaku pertembungan dua penjuru semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, pihaknya yakin sekiranya perkara itu dimuktamadkan nanti, UMNO dan Pas bakal membentuk kerajaan.
“Soal pembahagian kerusi (antara dua parti) masih awal tetapi apa yang pasti, satu persefahaman yang akan dimuktamadkan melalui piagam iaitu mana-mana kerusi ditandingi Pas, UMNO tidak akan meletakkan calonnya.
“Begitu juga sebaliknya apabila UMNO bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Pokok Sena di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan.
Sementara itu, beliau secara sinis memberitahu, mana-mana pihak yang menyatakan bahawa kerjasama UMNO dan Pas adalah retorik, sebagai tidak memahami maksud perkataan tersebut.
Katanya, adalah mustahil kerjasama itu bersifat retorik sedangkan perbincangan mengenainya telah dibawa ke Muktamar Pas dan satu usul telah dikeluarkan secara rasmi.
“Seterusnya kerjasama ini dibahaskan UMNO menerusi Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO, jadi saya rasa mereka (menyatakan retorik) tidak faham maksud retorik,” kata beliau.
Tambah Mahadzir, malah sehingga kini dan setiap hari, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan secara bersama antara Pas dan UMNO di seluruh negara.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohammad Suparadi Md. Noor semalam, bahawa kerjasama UMNO dan Pas hanya retorik dan lebih kepada sifat dendam apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. – UTUSAN ONLINE











