KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup lebih rendah dalam dagangan tidak menentu hari ini berikutan kekurangan petunjuk ketika sebahagian besar pelabur memilih untuk berada di luar pasaran menjelang pertemuan antara Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping di Sidang Kemuncak Kumpulan 20 Negara pada hujung minggu ini.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.57 mata kepada 1,672.13 berbanding paras 1,672.70 ketika ditutup semalam selepas berlegar turun naik antara untung dan rugi.
Ia turut bergerak pada jajaran antara 1,670.81 dan 1,677.34 sepanjang dagangan hari ini.
Malah, sewaktu pasaran dibuka, indeks itu turun 1.28 mata kepada 1,671.42.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 414 berbanding 333 dengan 450 lain tidak berubah, 711 tidak didagangkan dan 97 kaunter lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun meningkat kepada 2.22 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 1.84 bilion unit bernilai RM1.9 bilion, semalam.
Perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China terbukti terus menjadi sumber ketidaktentuan pasaran dengan kalangan pelabur masih mengharapkan perkembangan positif apabila rundingan dagangan dua negara kuasa besar ekonomi dunia itu disambung pada hujung minggu ini.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata pasaran itu juga terbukti lebih dipengaruhi oleh sentimen berhari-hati.
“FBM KLCI dilihat cuba mencecah tahap 1,678 sebelum berlakunya aktiviti jualan berikutan para pelabur enggan mengambil risiko menunggu sehingga saat hasil perbincangan perdagangan AS-China diumumkan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, di peringkat tempatan, kebanyakan kaunter-kaunter wajaran tinggi berkaitan indeks dalam sektor kewangan dan perladangan terus susut dan menjejaskan pertumbuhan pinjaman dan harga minyak sawit mentah.
“Walaupun sektor pembinaan mencatat prestasi baik didorong oleh penyambungan semula Projek Transit Aliran Ringan 3, Transit Aliran Massa Laluan 3, Projek Laluan Rel Pantai Timur dan Rel Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, ia terbukti tidak dapat memacu FBM KLCI,” kata Pong. – BERNAMA











