PUTRAJAYA – Tidak wujud transaksi oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepertimana didakwa pihak tertentu sebelum ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, malah tiada kewujudan akaun yang berkaitan.
“SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam telah membuat laporan mengenai transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik menteri kanan yang merujuk kepada Mohamed Azmin.
Selain itu, Lokman juga mendakwa terdapat kewujudan sebuah akaun di luar negara pada 2012 milik menteri berkenaan.
Dalam itu, Azam menambah, SPRM turut menyiasat berkaitan tohmahan terhadap Mohamed Azmin yang bertajuk ‘Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor’ (Inilah bukti Azmin Ali adalah toyol Selangor) yang mana, satu laporan pernah diterima pada Ogos 2018.
Berhubung isu itu, beliau menjelaskan, siasatan tersebut telah dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) serta institusi kewangan lain dan mendapati tohmahan yang dibangkitkan adalah tidak benar.
“Diharap kenyataan ini akan dapat memberi pencerahan kepada orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE











