Inkues Adib: KPKT, JBPM digesa lantik peguam bebas - Utusan Malaysia

Inkues Adib: KPKT, JBPM digesa lantik peguam bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Persatuan Pesara- Pesara Bomba Negeri Selangor mengesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melantik peguam bebas dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Pengerusinya, Zainal Wagimin berkata, pelantikan empat peguam baharu oleh Jabatan Peguam Negara pada Rabu lalu bagi pendengaran inkues itu dibimbangi akan menggangu dan mempengaruhi keputusan inkues berkenaan kelak.

“Sebagai pesara bomba kami berasa amat sedih dan terkilan dengan tindakan Pejabat Peguam Negara menamatkan perkhidmatan peguam, Syazlin Mansor yang mewakili KPKT dan JBPM dengan menggantikan empat peguam baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada hemat kami juga bomba tidak seharusnya diwakili peguam dari Jabatan Peguam Negara kerana bomba seharusnya berdiri teguh bagi membela kematian anggotanya yang mati ketika menjalankan tugas dan memastikan pesalah harus dihukum,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, pihak bomba perlu terus memperjuangkan keterangan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid yang mengesahkan kematian Muhammad Adib disebabkan oleh perusuh.

“Sejak dari awal, bomba bersatu hati tidak menerima teori kononnya Adib dilanggar dan amat tidak kena dan salah jika sekarang JBPM ingin menukar pendirian dan arahnya.

“Berilah keadilan atas kematian Adib, jangan biarkan kematiannya sia-sia tanpa sebarang pembelaan. Kami juga mahu prosiding yang sedang berjalan di mahkamah ini tidak dicampuri atau diganggu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berhubung isu lantikan peguam, Zainal berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian.

“Namun kita akan memantau perkembangan inkues ini dari semasa ke semasa.

“Jika Pejabat Peguam Negara masih berdolak dalik berhubung isu ini, kita akan menggerakkan sokongan bekas pegawai dan anggota bomba dari seluruh negara untuk bangkit menuntut keadilan,” katanya.

Pada Rabu lalu, media melaporkan, Mahkamah Koroner diberitahu mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili KPKT serta JPBM dalam pendengaran inkues kematian Muhammad Adib.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini