KUALA LUMPUR- Polis sedang mengesan penunggang motosikal dipercayai warga asing yang menyimbah cat serta melontar pasir terhadap sepasang kekasih dalam kejadian berhampiran sebuah hospital di Bandar Sungai Long dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komsioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan berhubung kejadian tersebut.
“Berdasarkan keterangan mangsa, mereka tidak mengecam serta mengenali suspek.
“Tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, sepasang kekasih yang sedang berjalan di belakang sebuah hospital didatangi seorang lelaki berkulit gelap yang menunggang motosikal yang nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan tiba-tiba disimbah cat dan dilontar dengan pasir.
Suspek kemudian dikatakan telah memarahi pasangan berkenaan dalam bahasa asing sebelum melarikan diri.
Kes diklasifikasikan dibawah seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan khianat kepada mangsa.











