KUALA LUMPUR- Cubaan menyeludup masuk sebanyak 7,850 bungkus rokok berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam serbuan di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu, Sabah, kelmarin.
Bagaimanapun, sekumpulan lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan itu dapat meloloskan diri dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 malam yang dijalankan oleh Unit Risikan Marin PPM.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya mengesan kegiatan sekumpulan lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.
Berita berkaitan:
“Apabila anggota menghampiri ke kawasan berkenaan, kumpulan lelaki itu melarikan diri ke kawasan sekitar kampung sebelum menghilangkan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hitam yang berisi pelbagai jenis rokok dipercayai tidak bercukai ditemukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Pajeri berkata, rokok yang dianggarkan bernilai RM16,750 itu dipercayai diseludup dari negara jiran.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.- UTUSAN ONLINE











