Guru rugi RM60,000 ditipu ejen pelancongan - Utusan Malaysia

Guru rugi RM60,000 ditipu ejen pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Seorang guru wanita berusia 34 tahun di sini kerugian RM60,781 selepas diperdaya ejen pelancongan yang menawarkan pakej percutian tidak wujud.

Guru tersebut juga terpaksa menanggung kos perjalanan dan penginapan melibatkan 19 orang kenalannya ketika bercuti di Jepun sejurus menyedari telah tertipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mengenali suspek lelaki pada awal tahun lalu menerusi kumpulan sembang WhatsApp ‘Geng Buru Tiket Murah’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa bersetuju dengan tawaran pakej pelancongan lima hari dan empat malam di Jepun yang berharga RM3,400.

“Guru itu juga mengajak 19 peserta lain untuk menyertai pakej percutian yang dijadualkan pada 23 Disember tahun lalu,” ujar beliau menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menambah, mangsa membuat bayaran secara berperingkat melalui 11 transaksi antara tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

“Awal Disember tahun lalu, suspek memaklumkan pakej percutian ke Jepun itu ditunda kepada tarikh baharu iaitu 7 Disember hingga 12 Disember 2018.

“Ketika mangsa bersama 19 rakannya berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Disember, dia mendapati butiran tiket penerbangan yang dikirim oleh suspek sebenarnya tidak wujud.

“Semakan dilakukan mangsa turut mendapati tempahan hotel di Jepun juga tidak pernah dibuat oleh suspek,” tambah beliau.

Ujar beliau lagi, guru tersebut bagaimanapun mengeluarkan wang sendiri dan menanggung semua belanja penerbangan dan penginapan sepanjang lima hari berada di Jepun.

“Mangsa yang berasa ditipu itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini