KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menahan empat warga asing termasuk seorang wanita dalam Op Pensura yang dijalankan di kawasan laut Pulau Nunuyan, di Sandakan, Sabah, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam operasi kira-kira pukul 4.30 petang itu, pihaknya telah menahan dua bot pam yang dikendalikan empat warga Filipina termasuk seorang wanita.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing berusia antara 16 hingga 41 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Pajeri, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,600 dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE











