PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyiasat segera mengenai cecair berbuih putih yang mencemarkan Sungai Keluang di Zon Perindustrian Bayan Lepas ketika ini.
Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, CAP merasa bimbang dengan kejadian tersebut dan jika ia mengandungi bahan kimia berbahaya masalah pencemaran itu boleh mengancam alam sekitar serta sumber pendapatan nelayan dan berpotensi menjejaskan kesihatan orang ramai.
“Dalam tinjauan yang dibuat CAP selepas menerima aduan, kami mendapati sisa berkenaan mengalir masuk ke dalam sungai ini dari kawasan perindustrian Bayan Lepas melalui saluran yang terdapat di tempat itu dan terus merebak ke kawasan pengkalan nelayan dan laut berdekatan.
“CAP percaya jika siasatan dan tindakan segera tidak diambil oleh pihak berkenaan peristiwa yang pernah berlaku ke atas Sungai Juru daerah Seberang Perai Tengah (SPT) satu ketika dulu dan Sungai Kim Kim di Johor baru-baru ini mungkin berulang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau sisa beracun yang mengancam kedua-dua sungai tersebut bukan saja menjejaskan mata pencarian nelayan-nelayan di kawasan terbabit malah ikan dan kerang yang menjadi sumber pendapatan utama mereka telah mati dan pupus.
“CAP kesal kerana setiap kejadian pencemaran yang berlaku pihak bertanggungjawab gagal mengesan punca masalah ini lebih awal sehingga keadaan menjadi lebih buruk seperti yang terjadi di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini,” katanya.
Justeru itu, katanya, CAP berharap JAS dan MBPP dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan pemantauan lebih kerap di semua kawasan perindustrian dan sungai-sungai di negeri ini bagi memastikan kilang-kilang yang beroperasi mematuhi undang-undang sedia ada.
“Pencemaran kumulatif dari kawasan perindustrian juga perlu diberi perhatian.
“Hasil siasatan dan kajian mengenai pencemaran Sungai Keluang perlu didedahkan kepada umum dengan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE











