KUALA LUMPUR – Langkah memenjarakan penagih dadah tidak akan mengubah keadaan.
Memetik portal Free Malaysia Today, Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia bukan hanya masalah seseorang tidak mempunyai keazaman yang kuat.
Tambah beliau, dekriminalisasi penagih dadah merupakan langkah kritikal ke arah pelaksanaan dasar mengenai dadah yang rasional yang mendahulukan sains dan kesihatan awam, berbanding hukuman dan pemenjaraan.
“Penagih dadah akan dirawat sebagai seorang pesakit (bukan penjenayah) dengan ketagihannya dilihat sebagai penyakit yang ingin kita sembuhkan.
“Bukti sejak beberapa dekad ini jelas menunjukkan bahawa dekriminalisasi adalah langkah waras yang akan membuahkan manfaat kemanusiaan dan fiskal yang besar, selain melindungi keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia dijangka mengambil langkah besar baharu dengan tidak menjadikan penagih dadah sebagai penjenayah.
Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna kerajaan akan menghalalkan dadah.
“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan jumlah kecil dadah untuk kegunaan peribadi, berbeza dengan mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah.
“Mengedar dadah tetap kekal sebagai satu jenayah,” ujarnya.
Dzulkefly berkata, penggunaan dan ketagihan dadah adalah masalah perubatan yang kompleks, kronik dan berulang-ulang.
“Terdapat banyak faktor yang mendorong seseorang mengguna dan menagih dadah. Ia mungkin merupakan kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, keruntuhan keluarga atau tekanan di sekolah dan rakan sebaya.
“Kesemua faktor ini boleh mendorong seseorang menggunakan dadah.
“Jika ia terus mengambil dadah, perubahan biologi akan mula berlaku dalam otak mereka. Justeru tidak mudah untuk menterbalikkan perubahan biologi yang berlaku,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











