Tidak cukup wang berkahwin, kaunselor buat laporan palsu disamun - Utusan Malaysia

Tidak cukup wang berkahwin, kaunselor buat laporan palsu disamun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Seorang kaunselor bertindak membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun di hadapan sebuah kedai di Jalan Besar Perai, Selasa lalu sehingga kerugian RM46,000 kerana kesempitan wang untuk melangsungkan perkahwinan.

Lelaki berusia 39 tahun itu bagaimanapun ditahan polis kira-kira pukul 10.35 pagi semalam di tepi

Jalan Kedai Subham Perai di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berkenaan membuat laporan bahawa dia tiba-tiba didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki di lokasi tersebut.

“Suspek mendakwa pembonceng motosikal bertindak menarik beg sandang yang mengandungi komputer riba, wang tunai berjumlah RM39,000 dan pelbagai barangan kemas sebelum dua individu tersebut melarikan diri.

“Wang tunai ini didakwa untuk kegunaan majlis perkahwinannya dan barangan kemas seperti rantai leher,gelang tangan, loket serta subang pula adalah untuk diberikan kepada bakal isterinya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan polis kemudiannya menjalankan siasatan di lokasi kejadian namun tidak menemui sebarang bukti mengenai kes itu.

“Malah terdapat kecelaruan dalam kenyataan yang diberikan lelaki berkenaan.

“Akhirnya suspek mengaku bahawa telah membuat laporan polis palsu kerana keluarga teman wanitanya mahu mempercepatkan majlis perkahwinan namun dia mengalami masalah kewangan,” katanya.

Tambahnya, suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini