KUALA LUMPUR – Seorang pegawai syarikat keselamatan maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban berhampiran susur masuk bulatan kuda, Sungai Besi di sini hari ini.
Kemalangan itu mencetuskan tanda tanya selepas orang ramai yang membantu mangsa menemui sepucuk pistol serta peluru dalam milikannya.
Dalam kejadian pukul 1.05 petang itu, mangsa, Mohd. Fazlizal Ibrahim, 39, disahkan maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan pada kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjannya di ibu kota.
“Siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah kenderaan lain.
“Selepas hilang kawalan, mangsa dikatakan terbabas sendiri sebelum melanggar tembok di bahagian kiri jalan. Akibat pelanggaran tersebut, pengawal keselamatan itu terjatuh atas jalan sebelum disahkan maut oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian pihak polis menemui sepucuk pistol jenis Walter P99 serta beberapa peluru dalam milikan mangsa.
“Hasil semakan mendapati pistol serta peluru itu milik syarikat keselamatan mangsa bekerja.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya – K! ONLINE











