Nenek gadai nyawa selamatkan empat cucu - Utusan Malaysia

Nenek gadai nyawa selamatkan empat cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT – Seorang nenek melalui detik cemas dengan sanggup menggadai nyawa demi menyelamatkan empat cucunya dalam kebakaran di Kampung Amer dekat sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, Siti Minah Bakar, 58, sedang solat zuhur dan dia tersentak dengan satu letupan dari arah bilik tidur anaknya yang ketika itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Pada waktu itu, cucu bongsunya berusia enam bulan sedang tidur dalam buaian, seorang sedang tidur manakala dua lagi bermain berdekatan buaian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua cucunya kemudian menjerit mengatakan ada api dari bilik tersebut dan setelah ternampak api makin marak, Siti Minah terus meluru mendapatkan cucunya dalam buaian sebelum mendapatkan tiga lagi cucunya lalu bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Dalam pada itu, ibu kepada keempat anak itu, Norani Abd. Aziz, 30, berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana keluar bekerja di Kuala Besut sebelum dihubungi suaminya yang merupakan seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Norani berkata, sebaik diberitahu suaminya, Mujibul Rahman Mohd. Nor, 34, bahawa rumah mereka terbakar, dia menjadi panik dan tidak dapat memandu keretanya dan terpaksa dibantu rakannya untuk membawanya pulang.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, dia lega apabila mengetahui kesemua anaknya yang berusia 6 bulan hingga 8 tahun selamat dan tidak mengalami kecederaan walaupun mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Mujibul Rahman pula berkata, dia berada di Sungai Besut yang terletak berhampiran dan apabila dihubungi rakannya yang rumah mereka terbakar, dia terus bergegas pulang dan sejurus tiba, didapati seluruh rumah hangus dijilat api.

“Semuanya termasuk dokumen penting milik keluarga hangus dalam kebakaran yang turut merebak ke bahagian dapur rumah kedai milik saudara kami yang terletak berdekatan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd. Azam Mohamad berkata, lapan anggota bersama dua jentera dan sebuah lori tangki dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Tambahnya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini