Perlis sedia jadi perintis kerajaan campuran UMNO-Pas - Utusan Malaysia

Perlis sedia jadi perintis kerajaan campuran UMNO-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Perlis sedia menjadi perintis mewujudkan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pas jika mendapat arahan dan persetujuan pucuk pimpinan parti.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Azizan Sulaiman berkata, pihaknya tidak kisah dan bersedia pada bila-bila masa jika parti memutuskan untuk negeri-negeri yang ditadbir oleh BN diwujudkan kerajaan campuran.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan memberitahu bahawa hubungan serta penyatuan UMNO dan Pas di negeri ini terus diperkukuhkan selain mendapat sokongan penuh akar umbi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya tidak ada masalah Perlis menjadi perintis mewujudkan kerajaan campuran antara UMNO dan Pas di negeri ini. Kita terima kalau diputuskan oleh pucuk tertinggi parti,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri barisan Exco Perlis bersama pengamal media di Kompleks DUN negeri di sini, hari ini.

Selain Perlis, terdapat tiga lagi negeri yang dikuasai BN dan Pas iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan selain perbezaan kecil kerusi antara kedua parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak serta Kedah.

Ahad lalu, Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Pahang memuktamadkan secara rasmi kerjasama politik dengan UMNO yang sekali gus mengulangi sejarah politik pada 1978.

Parti tersebut turut menetapkan empat panduan bagi menjayakan ta’awun politik dua parti terbesar orang Melayu Islam itu yang antaranya kerjasama itu mesti saling hormat-menghormati dasar parti masing-masing.

Sementara itu, Azizan berkata, kedua-dua parti itu di negeri ini masih belum mengadakan perbincangan mengenai pengagihan kerusi namun garis panduan ke arah itu sudah ada.

“Saya percaya tidak ada masalah dalam soal pengagihan kerusi ini kerana kombinasi antara kedua parti ini semakin baik,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini