KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh lori dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 24.2 Lebuh Raya Damansara Puchong menghala ke Putrajaya, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Nissan dengan motosikal jenis Yamaha LC.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan terjadi apabila pemandu lori terbabit melanggar penunggang motosikal tersebut lalu menyeret mangsa dan menyebabkannya tersepit di bawah lori itu.
“Pihak bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit kakinya di bahagian depan tayar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azman, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk diberikan lawatan lanjut.
Menurut beliau, setibanya mangsa di Hospital Serdang, dia disahkan meninggal dunia.
“Laluan di tempat kejadian yang ditutup kembali dibuka dan boleh digunakan orang ramai pada pukul 3.45 petang.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” ujarnya. – K! ONLINE











