MELAKA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini membuka 10 buah kaunter perkhidmatan pesara (MyPesara) di setiap pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri bagi memudahkan pesara kerajaan mendapatkan khidmat nasihat dan panduan berhubung hal ehwal persaraan.
Menerusi kaunter MyPesara itu, golongan terlibat boleh berurusan mendapatkan cetakan penyata pencen, cetakan surat kelulusan faedah persaraan dan semakan status persaraan masing-masing.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, 10 pejabat SUK yang menyediakan khidmat MyPesara adalah di Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Terengganu dan Pulau Pinang.
“Sebelum ini semua pesara di seluruh negara hanya boleh mendapatkan khidmat urusan persaraan mereka di empat lokasi iaitu ibu pejabat JPA di Putrajaya, Bahagian Pasca Perkhidmatan Cawangan Sabah dan Sarawak serta Jabatan Perkhidmatan Persaraan, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) di Cyberjaya.
“Kita berharap dengan beroperasinya kaunter MyPesara di setiap pejabat SUK negeri ini, urusan para pesara di seluruh negara akan menjadi lebih mudah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran sesi libat urus bersama pengurus sumber manusia (HR Day) dan pelancaran kaunter MyPesara di pejabat SUK Melaka di Seri Negeri, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, SUK negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPA, Datuk Suhaime Mahbar.
Majlis perasmian kaunter MyPesara di pejabat SUK Melaka yang beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 8 pagi hingga 5 petang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari.

Menurut Borhan, ketiadaan pejabat di setiap negeri sebelum ini amat menyukarkan golongan pesara untuk menyelesaikan urusan mereka.
Difahamkan, sejak mula beroperasi pada 1 April lalu, kaunter MyPesara di setiap pejabat SUK negeri menerima antara 250 hingga 300 pesara untuk setiap bulan yang ingin berurusan. – UTUSAN ONLINE











