KUANTAN 27 Jun – Penggunaan produk biodegradasi yang mudah kompos dan mesra alam boleh dijadikan sebagai alternatif menggantikan beg plastik dan polisterin bagi menangani kesannya terhadap alam sekitar serta kesihatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, produk biodegradasi berupaya terurai secara semulajadi dalam jangka masa 10 hingga 12 minggu.
Kata beliau, produk itu juga menggunakan sumber daripada bahan yang boleh diperbaharui seperti jagung, ubi kayu, tebu dan kelapa sawit.
“Penggunaan produk biodegradasi boleh mengurangkan jumlah sisa pelupusan sampah dan menjimatkan kawasan tapak pelupusan.
“Mungkin para peniaga boleh menyediakan beg plastik biodegradasi pada Isnin hingga Jumaat sebelum arahan sifar penggunaan beg plastik dapat dilaksanakan di negeri ini,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna di Tunas Manja Group (TMG) Mall Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda.
Wan Rosdy berkata, dalam hal berkenaan, kerajaan negeri mahu perubahan tersebut dilakukan secara beransur-ansur dan memberi ruang kepada peniaga serta pengguna untuk mempraktiskan amalan bebas penggunaan beg plastik.
Menurut beliau, kerajaan negeri akan menguatkuasakan arahan berkenaan berkuatkuasa 1 Julai ini yang mana tiada beg plastik dan penyedut minuman disediakan para peruncit tanpa mengira saiz perniagaan kepada pengguna bagi pembelian pada Sabtu dan Ahad.
“Pada peringkat awal, mungkin para pengguna agak terganggu dengan arahan ini tetapi usaha dan matlamat yang baik ini perlu diteruskan bagi kebaikan generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, negeri ini menghasilkan antara 90 hingga 1,200 tan metrik sisa buangan sehari di tapak pelupusan sampah Jabor-Jerangau dan di seluruh Pahang.
“Ini merupakan angka yang tinggi. Jika tiada usaha untuk penggunaan produk mesra alam, maka lambat laun memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











