KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebelum diseret sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 24.2, Lebuh Raya Damansara Puchong menghala ke Putrajaya, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa yang menaiki motosikal Yamaha LC tersepit di bawah lori berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori telah terlanggar penunggang motosikal sehingga menyebabkan mangsa terseret dan tersepit di bawah kenderaan berat itu.
“Pihak bomba telah mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang kakinya tersepit di bahagian tayar depan lori tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Hospital Serdang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE











