PULAU PINANG – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kenka tempatan hari ini kerana didapati melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan.
Bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 5.30 pagi hari ini di kedudukan 6.1 kilometer dari Barat Laut Muara Sungai Kerian berhampiran Sungai Udang, Nibong Tebal di sini.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang dan telah mengesan dua buah bot kenka yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Setelah menghampiri kedua-dua bot berkenaan, sebuah bot kenka berjaya meloloskan diri.
“Namun sebuah lagi berjaya ditahan lalu diperiksa oleh kru bot peronda dan mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya terdapat dua orang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun dan 47 tahun berada di atas bot tersebut.
“Bot tersebut bersama satu gulung pukat kenka, lapan bakul ikan, tiga tong ikan dan satu ikan campur anggaran 370 kilogram ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai diminta untuk memberi kerjasama dengan memberi maklumat awam yang lengkap kepada pihak Maritim Malaysia melalui talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim negeri di talian 04-2626146 atau 04-264 3650. – UTUSAN ONLINE











