Takut guna sumber air di Kuala Koh - Utusan Malaysia

Takut guna sumber air di Kuala Koh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini tidak mahu menggunakan sumber air untuk minuman dan memasak di kampung berkenaan selepas 15 penduduknya terkorban akibat wabak baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk masih takut menggunakan bekalan air dari sungai, air tandak dan telaga berhampiran untuk dibuat minum serta memasak.

Seorang penduduk, Ayong Jais, 30, berkata, kehidupan di kampung berkenaan sudah kembali normal selepas penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi tujuan minum dan memasak kami menggunakan air dalam botol yang diberikan oleh kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Manakala air tandak, sungai dan telaga pula hanya digunakan untuk mandi dan membasuh baju,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ana Ripin, 20, pula berkata, semua penduduk tidak berani lagi menggunakan sumber air sebelum ini kerana bimbang tercemar selain memudaratkan kesihatan.

“Terima kasih kepada pihak yang menyalurkan bantuan ini kerana ia dapat dimanfaatkan dengan baik.

“Kami berharap bekalan air bersih dapat disalurkan secara berterusan kepada penduduk di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Kuala Koh, Mohamad Pokok berkata, penduduk memohon agar syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) memantau bekalan air yang dihantar di dalam dua tong besar di kampung berkenaan.

Katanya, satu tong air berkenaan hanya mampu bertahan selama tiga hari berikutan perkampungan ini mempunyai sebanyak 52 keluarga.

“Semasa kejadian baru-baru ini mereka kerap hantar bekalan cuma sekarang sudah terputus dua hari.

“Dua tong itu selalunya habis digunakan penduduk tidak sampai seminggu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini