Warga emas sembunyi anak dalam almari elak ditahan AADK - Utusan Malaysia

Warga emas sembunyi anak dalam almari elak ditahan AADK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL – Sepasang suami isteri di gugusan Felda Palong dekat sini sanggup menyembunyikan anak lelaki mereka dalam almari pakaian semasa rumah mereka didatangi anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah, Isnin lalu.

Ketua Pegawai AADK Jempol, Ahmad Sabri Mohd. Yusof berkata, pasangan warga emas itu bertindak demikian bagi mengelak remaja berusia 17 tahun tersebut daripada ditahan pihak berkuasa kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Kita menerima maklumat mengatakan seorang remaja lelaki di rumah itu yang tidak bersekolah terbabit penggunaan dadah. Kami bergegas ke kediamannya, namun dimarahi ahli keluarganya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ibu bapa remaja itu memasukkan anak mereka dalam almari pakaian untuk mengelak daripada ditemukan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Sabri berkata, pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk pasangan warga emas itu sebelum mereka membenarkan anggota AADK mencari remaja itu dan menjumpainya di dalam almari di sebuah bilik.

Menurut beliau, remaja lelaki itu menafikan terlibat dalam penyalahgunaan dadah, tetapi ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif syabu.

Jelas beliau, remaja itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pegawai AADK dan ahli keluarganya telah diminta supaya memberi kerjasama untuk menyelesaikan masalah remaja tersebut.

“Kami juga tidak mengambil tindakan terhadap ibu bapanya kerana mengambil kira mereka merupakan warga emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini