KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor perlu sedar bahawa beliau bukan Menteri Besar yang dipilih rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mandat yang dipegang Muhammad Sanusi ketika ini adalah hasil sokongan daripada UMNO.
“Sanusi jangan cakap banyak, dia pun menjadi menteri besar yang tidak dipilih rakyat, yang bantu dia jadi menteri besar pun UMNO yang dia kata tidak stabil ini.
“Kalau bukan sebab UMNO, dia pun tiada peluang untuk jadi menteri besar. Suruh dia cari mandat daripada rakyat, barulah boleh bercakap balik tentang UMNO,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan mendapat kestabilan politik sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya menegaskan isu tersebut tidak timbul kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan UMNO dan beliau mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk parti lain bagi memikul tugas sebagai Perdana Menteri daripada UMNO.
Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan memperlihatkan kestabilan politik di beberapa negeri yang UMNO mempunyai jumlah kerusi sedikit.
“Saya bagi testimoni dia, negeri yang kerusi UMNO sikit stabil (seperti) Kedah, Kelantan, Terengganu stabil, tiada pergolakan apa, rilek sahaja,” ujar Sanusi.
Nur Jazlan berkata, Muhammad Sanusi perlu lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan supaya tidak memperlihatkan beliau sebagai pemimpin yang tidak mempunyai kredibiliti.
“Macam inikah Pengarah Pilihan Raya Pas? Ini yang digambarkan sebagai ketandusan pemimpin dalam Pas. Yang Takiri (Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali) pejuang tentang penyatuan Melayu Islam dilucutkan jawatan, orang yang macam Sanusi ni dikekalkan.
“Betulkah tindakan itu?” soalnya lagi.
Muhammad Sanusi diangkat menjadi Menteri Besar Kedah pada Mei 2020 dan pelantikan itu mendapat sokongan Perikatan Nasional (PN) dianggotai Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO yang berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat sokongan 23 ADUN.
Jawatan tersebut sebelum itu dipegang Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 pada 11 Mei 2018.
Mukhriz yang merupakan ADUN Jitra mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018. – UTUSAN











