Latihan TVET dalam sektor berimpak tinggi jadi fokus - Utusan Malaysia

Latihan TVET dalam sektor berimpak tinggi jadi fokus

Yayasan Peneraju merangka program berimpak tinggi dalam pelbagai sektor bagi merancakkan lagi bidang TVET.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) sedang merangka beberapa program berimpak tinggi dalam pelbagai sektor bagi merancakkan lagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya berkaitan keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran serta kebolehpasaran tenaga kerja.

Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol. Bersekutu (PA) Ts. Dr Mohd Muzzammil Ismail (gambar), Yayasan Peneraju sememangnya telah menyediakan program latihan TVET sejak penubuhannya 10 tahun lalu.

Objektif program berkenaan adalah untuk menyumbang kepada peningkatan bilangan Bumiputera yang memiliki pensijilan kemahiran tinggi yang diiktiraf pada peringkat industri dan antarabangsa seterusnya mencapai sasaran negara meningkatkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan.

“Kami sedang merangka beberapa program berimpak tinggi antaranya dalam sektor automotif, aeroangkasa dan telekomunikasi bagi membolehkan lebih ramai lagi peserta menyertai program kami.

“Kami ingin menjadi pemain utama dalam melahirkan modal insan yang serba boleh, berkemahiran tinggi dan berdaya saing bagi menyumbang kepada sosio-ekonomi negara kita.

“Usaha membangunkan modal insan penting dan perlu diteruskan agar Bumiputera mampu bersaing dalam pasaran kerja yang menawarkan peluang pekerjaan yang bernilai dan berimpak tinggi,” katanya.

Sehingga kini, 19,135 graduan baru, tenaga kerja sedia ada, belia keciciran dan penganggur diberi latihan TVET re-skilling dan upskilling dalam sektor berpendapatan tinggi.

Manakala 2,460 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga individu bekerja dilatih untuk pengiktirafan pensijilan profesional dalam bidang ICT dan MRO Aeroangkasa.

Yayasan Peneraju turut bekerjasama dengan lebih 100 pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan lebih 370 program ditawarkan berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran penerima faedahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×