PETALING JAYA: Kewujudan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) sejak 2011 bagi membolehkan kumpulan sasar mendiami rumah idaman mampu milik tidak tercapai apabila terdapat 21 `projek sakit’ sehingga ada pembeli terpaksa menunggu sehingga lima tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PR1MA, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, PR1MA terus memberikan perhatian kepada 21 projek sakit (18 di semenanjung dan tiga di Sabah) manakala satu projek lewat di semenanjung.

“Tidak semua projek bermasalah, ada kontraktor yang bagus. Ada dua tiga projek yang mengalami kelewatan, ada yang cacat, ada yang tak dibayar. Jadi, ada projek sakit yang serius, ada yang tidak serius, ada yang menunjukkan peningkatan.
“Sebab itu, sekarang ini kita tumpu kepada pemerkasaan pemantauan, tetapi saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana kontraktor, jangan main-main dengan pembeli, mereka ada hak kerana itu rumah mereka,” kata beliau ketika dihubungi bagi mengulas lanjut mengenai masalah projek PR1MA.
Menurut beliau, kerajaan pada tahun 2013 menyasarkan sebanyak 500,000 rumah PR1MA disiapkan tetapi tidak tercapai kerana pihaknya berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, malah proses untuk menyediakan rumah sebenarnya memakan masa bertahun-tahun.
Bagaimanapun, menurut beliau, ketika Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menukar sasaran untuk membina 100,000 rumah mampu milik menjelang 2025 dan sasaran tersebut adalah rasional berbanding sasaran sebelum itu iaitu 500,000 unit.
“Urusan pembelian tanah, pengambilan kontraktor, pembangunan kawasan mengambil masa dua tiga tahun, ini cukup mengecewakan. Ada juga projek yang memakan masa lebih lama untuk disiapkan,” katanya.
Bukan itu sahaja, dedah Fathul Bari, masalah projek PR1MA turut terjejas apabila berlaku pertukaran kerajaan pada 2018 sehingga kira-kira 30 projek untuk menyediakan kediaman mampu dimiliki rakyat dibatalkan.
“Ketika bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kira-kira 15 peratus projek dibatalkan dan PR1MA kena bayar. Ini mengganggu aliran kewangan. Jadi, 500,000 tidak tercapai disebabkan berlakunya pembatalan projek dan ada juga usaha nak tutup PR1MA.
“Kalau tidak, mungkin kita dah dapat 100,000 unit, apa rasionalnya pembatalan itu. Dalam empat tahun, PR1MA ada dua projek sahaja, jadi tak boleh nak cakap soal nak bina rumah 100,000 unit setahun,” katanya
Sehingga kini, PR1MA mempunyai 61 projek dengan jumlah unit 49,401 di seluruh negara termasuk 35 projek merangkumi 27,821 unit telah siap dibina.
Bagaimanapun, dari sudut lain, beliau bimbang dengan pinjaman kewangan yang disediakan oleh bank, yang dilihat tidak membantu pembeli PR1MA.
“Rumah sedia untuk dijual, tetapi orang masih tak dapat beli sebab tidak dapat pinjaman penuh. Kita minta Bank Negara Malaysia (BNM) longgarkan syarat, bukan minta langgar polisi, tetapi prihatin kepada tekanan kewangan yang dihadapi rakyat. Nilai permohonan sudah capai hampir RM1 bilion dan mereka tengah tunggu nak dapat pinjaman, tapi ada yang hanya dapat pinjaman 70 peratus, ada yang 90 peratus.
“Kalau rumah harga RM200,000, mereka dapat pinjaman 90 peratus, nak bayar lagi 10 peratus sendiri tak cukup. Jadi, BNM kena tengok skim mereka, khusus untuk orang muda bawah 35 tahun, contohnya di Selatan Malaysia, hampir 80 peratus permohonan dalam kalangan orang muda,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan pendedahan Fathul Bari mengenai cabaran yang dihadapi PR1MA apabila pihak subkontraktor bertindak merosakkan kemudahan yang dibina atau dipasang di projek tertentu apabila mereka tidak mendapat bayaran daripada kontraktor utama.
Sementara itu, pembeli projek perumahan PR1MA Rantau, Bandar Ekar Rantau di Negeri Sembilan, Muhammad Adib Aizuddin, 33, berkata, sekiranya kontraktor utama tersebut berkelayakan, isu kegagalan untuk melunaskan pembayaran kepada subkontraktor tidak akan berlaku.
“Jika mahu lihat salah siapa, pemaju juga perlu bertanggungjawab kerana merekalah yang melantik kontraktor utama tersebut. Jika isunya pembayaran tidak dibuat adalah salah pemaju juga. Mungkin ada sebab tetapi sekiranya itu kontraktor yang terbaik, tidak akan jadi isu-isu sebegini,” katanya.
Seorang lagi pembeli projek di kawasan tersebut, Azezam Shah Zambri, 39, berkata, isu pembayaran kepada kontraktor dan kontraktor yang bersilih ganti menjadi antara punca projek perumahan dimajukan PR1MA lewat siap.
“Selepas hampir lima tahun, kami hanya mahu projek ini disiapkan, tempoh ini terlalu lama ketika ramai pembeli terpaksa menanggung pelbagai kos lain. Apa cara sekalipun, PR1MA selesaikanlah masalah tersebut sebaiknya,” katanya lagi.
Sementara itu, pembeli projek PR1MA Port Dickson, Rozainah Abdul Rahim, 32, berkata, dia juga hanya mahukan projek yang sepatutnya boleh diduduki pada 2020 disiapkan secepat mungkin setelah menunggu tiga tahun.
“Projek PR1MA Port Dickson sepatutnya disiapkan pada 2020 namun sehingga kini masih belum siap. Kami difahamkan, pembinaan telah berjalan semula sejak awal tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada November depan. Apa juga isu, saya harap ia dapat diselesaikan kerana bagi pembeli tentunya kami mahu segera menduduki rumah tersebut,” katanya.- UTUSAN










