KEBELAKANGAN ini seakan ada sesuatu yang ‘mengusik’ menjentik hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.
Inilah sebahagian cabaran yang didepani oleh negara-negara Nusantara. Yang tidak disedari juga dikhuatiri di saat ini sedia wujud entiti yang dekat merancang supaya Indonesia dan Malaysia bergeseran atas isu-isu remeh. Entiti ini tidak suka melihat keintiman Nusantara antara kedua-dua negara ini. Entiti ini, bak lagaknya ikan sembilang, suka melihat pergeseran itu terus berlaku dan dilakukan.
Sedangkan hubungan Malaysia-Indonesia sepatutnya berjalan baik oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudahpun berkunjung ke Jakarta.
Cumanya, presiden di sana ada membuat kenyataan kurang enak mengatakan mereka lebih baik sekarang daripada negara jiran, “kita orang besar, jadi kita kena lebih hebat.” Namun, itu bukanlah suatu keretakan antara Jakarta-Kuala Lumpur. Ia hanya respons balas yang kurang mengenai kepentingan bersama. Waima duta sekalipun yang buat kenyataan, itu tidak boleh dihalang daripadanya mengeluarkan apa-apa respons terhadap sesuatu isu sebab itu memang kerja duta bagi mana-mana negara.
Kerana ia terkandung dalam etika para pegawai luar negara dan dalam konvensyen.
Kuala Lumpur mesti menganggap apa yang disebut pimpinan Indonesia sebagai ‘kita orang besar’ itu cabaran buat kita. Mungkin mereka sebut perkara itu yang mencerminkan penurunan prestasi atau perbuatan kenegaraan kita. Dan juga melihat ketidaksusunan politik Malaysia yang sudah mula menurun. Itu kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana jangankan orang luar, ‘orang kita pun balun sistem kita.’
Keupayaan presiden mereka waktu ini adalah musim beliau meningkatkan prestasi alihkan ibu negara baharunya ke Kalimantan Timur, yang diberi nama pula Nusantara.
NUSANTARA
Istilah Nusantara ini mega dan gah, muncul sebelum Indonesia merdeka lagi, 1945. Perkataan ‘Nusantara’ ialah gabungan kata antara nusa dan antara, yakni negara-negara berperantaraan laut dan darat melalui jajaran komunikasi mereka dalam perhubungan semenjak zaman purba hingga kini. Kerap disebut oleh sejarawan bahawa semasa pengaruh Majapahit meluas, Nusantara sering disebut bersama Kartanagara, sebagai kawasan pengaruh kerajaan Jawa.
Di zaman pemerintahan Sukarno, panggilan Nusantara itu sering dikumandangkan sehingga suatu ketika ungkapan Melayu Raya juga diumumkannya sejurus sebelum peristiwa Konfrontasi atau Ganyang Malaysia 1963. Sukarno ketika itu menganggap penggabungan Semenanjung, Singapura, Sabah dan Sarawak adalah satu hegemoni politik Inggeris, lantas dinamakannya gabungan itu Neo-kolonialisme. Cuma lantaran perjuangan kelompok politik yang diwujudkan oleh Belanda dan Inggeris, Nusantara dipecah-pecahkan ikut selera kolonial Eropah semenjak 1511 hingga ke tahun-tahun merdekanya wilayah-wilayah berkenaan. Bagi tempoh 1642-1945 (303 tahun) terhadap Indonesia dan 1511-1957 (446 tahun) bagi Semenanjung.
Dalam banyak hal Nusantara menjurus kepada Gugusan Kepulauan Melayu yang terdiri daripada semua kepulauan di Indonesia sekarang, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Kalimantan, juga sebahagian Filipina selatan.
Kawasan geopolitik Nusantara di Asia Tenggara sahaja melibatkan penduduk seramai 618 juta dengan keluasan 11 negara 4.5 juta kilometer persegi. Indonesia sahaja dengan lebih 18,000 pulaunya meliputi kawasan seluas 1.9 juta kilometer persegi dan berpopulasi sekitar 280 juta orang dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita AS$3,869.59. Sementara Malaysia berkeluasan 329,000 kilometer persegi didiami 32 juta penduduk dengan PNK per kapita AS$10,401.79.
Hari ini, apabila memperkatakan Indonesia, mereka dari segi antirasuahnya berjaya. Kita pula menurun Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 apabila jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara. Indeks ekonomi tanah air sekarang menghadapi fasa cabaran dengan ringgit yang agak menurun dan kestabilan politik dipersoalkan banyak pihak.
AMBIL HATI
Jadi, kita tidak boleh ambil hati sangat sebab putaran zaman yang kita perlu lakukan sekarang. Jika tidak kita akan tertinggal terus.
Dalam isu sekatan eksport arang batu dari Indonesia yang membingungkan Malaysia, ia bergantung juga kepada kebijaksanaan kita mengendalikan hubungan dua hala.
Saya tergolong pada pihak yang ingin menggesa, apa pun Indonesia buat sentimen kepada kita, kita mesti lihat dari segi kaca mata sebenar. Jika arang batu isu masalah kita, jadi apa yang kita layan sebelum ini mungkin diambil kira dari segi tarif bayaran arang batu atau tempoh kredit itu semua perlu dilihat dari konteks sebenar.
Mesti ada sesuatu dalaman kita yang kena kita ambil kesiapsiagaan semula. Terima semua ini dalam konteks cabaran sebab hubungan intim dengan Indonesia besar dan tinggi nilainya. Mesti ada satu jenis keintiman hubungan dua hala yang merangkul isu-isu ekonomi, sosiobudaya dan keselamatan.
Tetapi entah macam mana dalam 10 tahun kebelakangan ini hubungan kita dengan Indonesia seperti tidak ada ‘lunas demokrasi’ yang khusus dan istimewa. Dahulunya terbaik semasa era Suharto dan Susilo Bambang Yudhoyono, tetapi sekarang sesiapa yang melandaskan perkara ini mesti berbalik kepada hubungan yang khusus dan istimewanya.
Dalam konteks Nusantara, kita hakikatnya dalam lapangan Melayu Raya. Jadi, kalau mereka pergi ke Kalimantan, itu merupakan markah tinggi bagi Indonesia untuknya menguasai satu nilai pertanahan. Dari segi security, mereka kali ini lebih cekap dengan ekonomi republik itu paling hendak melangkah yang saya kira-kira akan mencanak dalam tempoh satu dekad akan datang.
Jadi, jangan kita cuba ‘mendera’ tak tentu arah. Kena ambil tahu apa silap kita. Ikut mana pun, kita tidak berkeadaan berhujah dalam kekuasaan. Kita dalam arena suasana kelemahan hari ini. Terpulang nak mengaku atau tidak, terserah kepada pihak berkenaan.
Tetapi dalam konteks hubungan dua hala Malaysia-Indonesia, elok dilihat semula sifirnya. Saya tidak nampak perkara ini dibuat di peringkat itu.
Kerana, apabila ada sesuatu isu, Jakarta lekas undercurrent atau pantas bertindak di arus bawahnya dengan jalinan-jalinannya. Dalam hal sebegitu, kita harus buat ukuran akan kebolehan dan kemampuan sendiri.
Kalau hendak buat pengakuan, ya betul sebab kemajuan Indonesia dari segi lunas-lunas perundangan, ekonomi dan wilayah am mereka agak terkehadapan hari ini, seiring dengan populariti presidennya. Misalnya, Parlimen Indonesia lebih cepat luluskan undang-undang tentang ibu negara baharunya sekarang. Cepat bermakna ada usaha cukup pantas.
Kalau di Singapura dulu ada kelibat George Yeo, menteri luarnya yang pergerakannya tidak nampakpun, tetapi kerja beliau terbaik.
Ada dalam banyak isu dua hala Singapura-Malaysia yang penting dan berbahang melibatkan individu seperti Yeo ‘dia berjalan ke bawah.’
Kita barangkali ketandusan lunas yang ketiga ini untuk mengendalikan isu-isu kejiranan.
Kuala Lumpur harus ada hubungan istimewa yang berterusan dan berkekalan dengan Jakarta. Cuma istilah ‘istimewa’ ini seakan ada lompang dalam dasar luar kita sekarang.











