Ifa Raziah bukan nama kecil dalam industri. Sejak menceburkan diri, dia membuktikan kemampuan sebagai anak seni sebenar.
Seorang penyanyi, yang kemudian terjun ke bidang pengacaraan.
Kemudian sekarang menjadi seorang usahawan berjaya. Kegigihan wajar dicontohi.
Sebagai artis, Ifa tak terkecuali menerima kecaman. Mulut manusia tak boleh ditutup. Ifa, bagai sudah lali dengan fitnah dan pertuduhan.
Ada yang menggelarnya berpura-pura. Dek kerana penampilan. Hari ini bertudung esok, buka.
Siapa kita untuk menghukum. Dia manusia, seperti kita yang lemah dan tak sempurna. Fitrah, manusia berbuat kesilapan.
Bila saya tanyakan isu bertudung, Ifa tampil memberi penjelasan. Baginya. Biarlah orang mengata, itu hak mereka.
PENGHIJARAHAN ADA PROSES
“Penghijrahan ada prosesnya. Tak boleh mendadak. Sekurang-kurangnya bagi saya.
“Mungkin ada yang Allah SWT berikan kelebihan, hijrah dan terus istiqamah. Tapi, ada sesetengah yang ambil masa, seperti saya,” katanya.
Kata Ifa, dia tidak mahu terburu-buru. Seeloknya, biarlah penghijrahananya dalam dia bersedia. Kerana, istiqamah penting baginya.
Pintanya, berikan sedikit ruang dan masa. Kerana baginya, untuk berubah perlu ada keikhlasan, bukan keterpaksaan.
“Yang kenal saya, mereka tahu, seorang Ifa Raziah mementingkan proses. Langkah demi langkah.
“Buat apa terburu-buru. Hari ini pakai (tudung) esok buka. Nak bertudung. Bagi ruang untuk saya belajar dahulu, erti bersedia dan istiqamah,” katanya lagi.
IMPI LAGI KETUHANAN
Dalam perbualan kami, Ifa ada menyatakan hasratnya untuk menyanyikan lagu ketuhanan.
Ujarnya, Keinginan itu sudah pun dia sampaikan kepada komposer, Hafiz Hamidun.
Namun, ketika ini dia masih menunggu masa yang sesuai untuk merealisasikan impian itu.
“Sebenarnya hasrat ini saya dah suarakan tiga tahun lepas. Ketika bertemu di Mekah baru-baru ini, saya maklumkan lagi kepadanya.
“Katanya okay. Masih dalam proses. Jadi, tunggu sahajalah,” katanya.
Saya bertanya, adakah dia sudah mula berkeyakinan untuk menyanyikan lagu-lagu berkonsep seperti itu. Ifa memberikan penjelasannya tersendiri.
“Bukanlah nasyid sangat. Lebih kepada ketuhanan. Contoh seperti yang dinyanyikan penyanyi negara seberang, Rossa.
“Saya tidaklah mahu lagu itu kelihatan seperti saya berdakwah atau nasyid. Bukan begitu.
“Sekurang-kurangnya, dengan adanya lagu ketuhanan, boleh saya sampaikan ketika membuat persembahan program keagamaan. Ia lebih general,” katanya lagi.











