Jurunikah, wali import cetus masalah perkahwinan

Jurunikah, wali import cetus masalah perkahwinan

CHE MOHD RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Amalan menggunakan jurunikah dan wali import  bertentangan dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 2002, lebih-lebih lagi apabila dilakukan ketika pintu sempadan negara masih ditutup akibat Covid-19.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim mendedahkan, pada 29 November lalu seorang kadi import diambil tindakan untuk proses pendakwaan kerana melangsungkan perkahwinan seumpama itu di Pasir Mas.

Menurut beliau, kadi dikenali dengan panggilan ‘Baba’ bersama tiga individu lain di Pasir Mas didakwa di bawah Seksyen 39 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 yang boleh didenda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, pada 20 Oktober, seorang bekas imam turut ditahan atas sebab yang sama.

“Saya menyeru mereka yang ada maklumat, segera buat laporan bagi memastikan kegiatan ini dibenteras dan dalam masa sama dapat memastikan kesahihan sesuatu perkahwinan mengikut hukum syarak,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Kata Che Mohd. Rahim, pelanggaran undang-undang itu mendedahkan kepada tidak sahnya sebuah perkahwinan, sekali gus boleh membawa maksiat dan dosa selama mana pasangan itu hidup bersama, selain mendatangkan implikasi negatif lain.

Antara implikasi negatif bakal timbul kata beliau, kesulitan mendaftarkan perkahwinan sebelum berlarutan kepada masalah lain seperti pendaftaran kelahiran anak diikuti penentuan nasab, kewarganegaraan, persekolahan dan hal ehwal harta pusaka.

“Malah perkahwinan sedemikian akan menggagalkan mana-mana pasangan untuk menuntut hak jika berlaku sesuatu kepada perkahwinan sehingga digantung tidak bertali serta pelbagai lagi kesan negatif dan masalah sosial lain.

“Jadi fikir dahulu sebelum buat, kadang-kadang kita hanya fikir untuk mencari penyelesaian secara mudah dan cepat tanpa mengambil kira pelbagai kerumitan akibat tindakan yang kurang cerdik ini,” ujarnya.

Tambah beliau, JHEAIK sering berdepan dengan kes-kes pelanggaran Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 yang akhirnya semua pasangan terbabit mengaku menyesal melanggar undang-undang. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini