Di sebalik ketenangan wajah yang dipamerkan, senyuman manis di bibir dan tutur bicara yang jelas, siapa sangka rupanya ada cerita suka-duka disebaliknya.
Itulah sosok pembaca berita yang sentiasa menghiasi kaca TV kita pada setiap pagi, petang dan malam menyampaikan berita-berita bagi pengetahuan masyarakat. Tanpa mereka, pasti tak senang duduk kita dibuatnya dan banyaklah persoalan tentang isu semasa yang membelenggu fikiran kita.
“Pembaca berita bukan sahaja bertugas sebagai pembaca. Kami jugalah menyunting berita dan mencari bahan berita untuk disampaikan kepada penonton,” kata Raydwin Robin, 32.
Pengacara radio Sabah FM di RTM Kota Kinabalu (KK) yang lebih dikenali sebagai Edwin Robin berkata, sekiranya kesilapan berlaku sewaktu berita disampaikan, semua anggota produksi menanggung kesilapan tersebut.
Kadang-kadang kita disajikan tingkah laku atau kesilapan pembaca berita sewaktu siaran secara langsung. Kata Edwin, pembaca berita perlu bijak dan tahu bagaimana untuk menangani situasi.
MENJIWAI BERITA
Anak jati Beluran, Sabah berkhidmat selaku penyampai berita di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2014 sebagai pembaca Berita Wilayah di saluran TV1 dan Berita RTM jam 5 petang. Bermula September 2021, dia ke Sabah FM untuk menceburi dunia radio pula.
“Penyampai haruslah meletakkan dirinya sebagai wartawan, tahu jalan cerita agar dapat menjiwai berita yang disampaikan. Bukan sekadar baca tapi menterjemahkan apa yang berlaku.
“Penyampai perlu tahu isu semasa agar dilihat lebih bijak ketika menyampai. Apa yang penting, ciri-ciri seperti karisma, aura, dominasi dan serba boleh perlu terdapat pada setiap penyampai. Bukan semata-mata terletak pada rupa paras,” katanya.
SUARA SEDAP
Mempunyai nada suara sedap suatu kelebihan tetapi ia boleh dipelajari agar sebutan dan nada kedengaran lebih sedap dan berkualiti. Ramai beranggapan bahawa tugas penyampai hanya sekadar membaca berita. Hakikatnya, penyampai perlu peka ke atas berita yang disampaikan selain berkomunikasi dengan editor berita sekiranya terdapat salah silap dalam ejaan, maklumat mahupun isi kandungan.
Dalam perkembangan lain, dia akan mula mengacara dalam rancangan Kami Bah Ini dari KK secara langsung pada setiap Isnin, 3 petang di TV1. Penampilan si pembaca berita perlu kemas dan rapi kerana mereka dilihat sebagai figura paling dipercayai oleh masyarakat bahkan menjadi tumpuan serta ikutan orang ramai. Dari segi kesihatan, tenaga yang tinggi sangat diperlukan untuk bercakap dalam tempoh tertentu. Perlu diketahui juga bahawa pembaca berita terpecah kepada beberapa kategori berbeza. Antaranya, pembaca berita sukan, hiburan, cuaca dan umum. Setiap kategori ini mempunyai penonton tersendiri dan gaya penyampaiannya turut berbeza.
“Berita umum sudah pasti tertumpu kepada aspek ekonomi, jenayah dan isu semasa. Berita umum perlu lebih serius dengan riak wajah yang tegas selain intonasi suara yang agak garang untuk menunjukkan ketegasan.
“Bagi berita sukan, tenaga pembaca berlainan memandangkan dunia sukan lebih luas dengan terma-terma tertentu, maka sebutan dan intonasinya berbeza dengan apa yang disampaikan dalam berita umum,” katanya.
Intonasi suara yang dimaksudkan Edwin seperti ketika ingin memaklumkan kemenangan sesebuah pasukan bola sepak, pembaca tersebut perlu menggunakan suara yang lebih kedengaran gembira.
Dalam berita hiburan, ia perlu lebih santai dan tidak terlalu tegas. Jika berita itu melibatkan sesuatu gembira, lalu pembaca itu perlu tersenyum diselangi suara yang lebih mesra. Begitu jugalah kalau berita sedih yang memerlukan intonasi suara sedih. Tidak terlepas dalam berita umum tentang kemalangan, maka nada suara perlu sedikit berbeza supaya penonton lebih terasa.
Sekalipun Edwin tidak pernah merangkul sebarang anugerah dalam dunia yang diceburinya, namun beliau sangat berterima kasih kepada mereka yang telah mendidiknya selama berkhidmat dalam dunia kewartawanan TV ini seperti Norlela Md Noor serta orang-orang lama yang pernah menjadi pembaca berita di RTM seperti Farit Ismeth Emir dan sebagainya.
“Mereka ini sentiasa dijadikan panduan dan ikutannya dalam mengacara,” katanya.











