Sisa makanan jana pendapatan komuniti - Utusan Malaysia

Sisa makanan jana pendapatan komuniti

Melalui projek tersebut, komuniti diberikan tunjuk ajar melakukan proses pengkomposan vermi yang dapat memanfaatkan sisa makanan untuk dijadikan kompos bahan tanaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN sisa makanan yang dibuang secara tidak bertanggungjawab oleh penjaja gerai makanan dan penduduk kawasan sekitar Pangsapuri Kos Rendah Taman Sri Serdang, Selangor menimbulkan rasa kurang selesa kepada komuniti sekian lama.

Bukan sahaja bau yang kurang enak, malah ia juga mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan dengan longgokan sisa yang tidak terkawal.

Namun kini, penduduk sudah mampu menarik nafas lega apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan solusi pengurusan sisa makanan secara lebih sistematik melalui projek pemindahan ilmu rawatan sisa makananan untuk penjanaan pendapatan komuniti B40.

Melalui projek tersebut, komuniti diberikan tunjuk ajar melakukan proses pengkomposan vermi yang dapat memanfaatkan sisa makanan untuk dijadikan kompos bahan tanaman.

Ketua projek, Dr. Muhammad Heikal Ismail berkata, tanaman herba atau sayuran adalah antara varieti yang paling sesuai ditanam bagi baja kompos yang dihasilkan.

“Aktiviti dijalankan ini selari dengan Dasar Kebun Komuniti Bandar (DKKB) yang beriltizam untuk menggalak dan memperkasa komuniti melalui aktiviti berkebun yang lebih sistematik, organik dan mampan terutamanya di kawasan bandar yang memiliki tanah yang terhad.

“Sepanjang projek ini berlangsung, Graduate Intern (GI) yang dilantik telah melaksanakan pemindahan ilmu secara berterusan kepada komuniti.

Proses ini juga sekali gus dapat memberikan latihan secara langsung kepada GI dalam peningkatan modal insan untuk pasaran kerjaya lebih menjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Projek berlangsung selama setahun bermula Disember 2020 itu menerima pembiayaan sebanyak RM49,303 menerusi geran Knowledge Transfer Programme 5th Rolling di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Tambah Dr. Heikal projek berkenaan juga dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan amalan dalam kalangan komuniti sekali gus membantu proses pengdayaupayaan komuniti.

Komuniti diberikan ilmu melalui tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan cara mengasingkan sisa makanan, fasa kedua cara merawat sisa makanan dan fasa ketiga adalah untuk menjana pendapatan daripada sisa berkenaan.

Oleh itu, penduduk juga turut diberikan panduan mengenai jenis sisa yang boleh dijadikan kompos dan sebaliknya supaya proses pengkomposan menjadi lebih berkualiti untuk digunakan pada tanaman.

“Disebabkan itu, papan tanda diletakkan di tempat pembuangan sisa makanan untuk memberikan panduan kepada penduduk mengenai sisa makanan yang boleh digunakan.

“Kita hanya menggunakan sisa makanan tertentu seperti roti basi, surat khabar, buah atau sayur yang rosak, serbuk teh atau kopi dan kulit telur sahaja untuk optimakan kualiti kompos yang bakal dihasilkan nanti,” tambahnya.

Alternatif sumber makanan

Secara tidak langsung, konsep pertanian bandar berskala kecil itu juga dapat membantu menambah sumber makanan kepada komuniti pada harga lebih rendah daripada pasaran selain mampu menjana pendapatan sampingan terutama ketika situasi Covid-19 pada ketika ini.

Hasil kompos yang berkualiti dapat membantu menghasilkan tanaman segar dan berkualiti yang boleh dijadikan sumber makanan atau jualan dalam kalangan komuniti setempat.

Sementara itu, Ketua komuniti, Chinnatamby, 63, meluahkan rasa gembira dengan kewujudan program berkenaan.

Bukan sahaja ia dapat menyelesaikan masalah sisa yang membelenggu komuniti sekian lama, malah ia kini menjadi tambahan sumber makanan kepada komuniti melalui tanaman sayur-sayuran yang dihasilkan di kebun bandar berkenaan.

Setakat ini, kira-kira 10 jenis tanaman telah berjaya dihasilkan di kebun komuniti tersebut antaranya sayuran seperti salad, terung, timun, kucai serta pelbagai jenis herba.

“Sebelum ini hasilan sisa makanan adalah sekitar lima hingga lapan kilo setiap hari. Dengan adanya projek ini sisa makanan itu kita dapat proses untuk jadikan baja kompos yang kemudian kita gunakan untuk tanaman di kebun.

“Hasil tanaman itu pula kita jual pada penduduk di sini dengan harga yang rendah. Sambutan daripada mereka juga sangat menggalakkan kerana memudahkan mereka untuk mendapatkan sayur-sayuran tanpa perlu keluar dari kawasan perumahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×