Saya juga tak sempurna - Riena Diana Kampung People - Utusan Malaysia

Saya juga tak sempurna – Riena Diana Kampung People

Riena Diana lekat dengan nama panggilan Lailer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lailer. Jika mendengar nama ini pasti secara tidak langsung terbayangkan watak yang ada dalam naskhah komedi Kampung People di fikiran setiap orang yang pernah menonton.

Sepotong nama tersebut juga sekali gus telah mengangkat pelakon versatil, Riena Diana ini dikenali ramai.

Dianugerahkan serba serbi bakat yang dikurniakan Ilahi, tidak hairan figura ini dibanjiri dengan pelbagai tawaran bukan setakat berlakon sahaja tetapi dia kini bergelar penyampai radio pula.
Bagaimanapun, bagi tuan empunya badan sendiri akui agak mencabar untuk menjadi seorang anak seni yang versatil.

“Saya struggle juga untuk membuat dua kerja. Berlakon juga minat saya. Saya pun tidak boleh tinggalkan lakonan hanya kerana sudah bekerja di radio.

“Tetapi bila sudah jumpa produksi yang sanggup untuk menyusun jadual lakonan dan memahami jadual kerja radio saya setiap hari, jadi saya pun ambil tawaran drama itu,” katanya.

Kongsi Riena, tidak pernah terlintas di fikirannnya untuk menjadi seorang penyampai radio tambahan pula bukan forte untuk dirinya sebagai deejay (DJ).

“Sebelum ini, sebenarnya tiada passion pun, malah saya tidak bayangkan yang saya akan menjadi penyampai radio, seperti sekarang ini.

“Saya tak pernah terfikir pun untuk menjadi seorang DJ kerana merasakan diri ini seperti bimbo sahaja.

“Tambahan juga, ia bukan forter saya. Tetapi lama kelamaan seperti ngam (sebati) dengan saya,” kongsinya.

Dalam pada itu, selama dia sebagai penyampai, dirinya mengakui tidak lari daripada menerima komen negatif pendengar radio.

“Adalah juga komen negatif yang saya terima. Ada juga yang cakap ‘dia ni cakap apa, gelak sahaja banyak. Menjengkelkan’, segelintir cakap begitu kepada saya. Maklumlah, saya ini memang mudah terhibur, mudah sangat mahu tergelak.

“Itu sebenarnya adalah personaliti saya. Bos pula cakap, ‘tidak mengapa Riena, jadi diri sendiri’. Bagaimanapun, lama-lama orang boleh terima perkara itu dan semestinya saya perlu mengurangkan juga sifat jengkel itu sendiri kerana bekerja dalam radio.

“Saya juga kini sudah mengetahui bagaimana untuk mengawal bila perlu gelak dan sebagainya. Alhamdulillah, kini ramai yang mula memberi maklum balas positif terhadap saya,” ujarnya yang bersama HotFM sejak tahun lepas.

Beri peluang

Anak seni sememangnya tidak dapat lari daripada kecaman warga net.

Bagi Riena sendiri, tidak salah jika memberi peluang terhadap seseorang itu mencuba pelbagai cabang seni untuk diri mereka lebih menyerlah.

“Kita perlu berikan peluang kepada seseorang itu untuk meneroka bakat mereka. Jika kita tidak suka, itu adalah tanda.

“Namun, jika kita membuka ruang hati sedikit untuk mereka menyerlah, mengapa tidak kan?

“Beri peluang untuk kami yang baru ini untuk menunjukkan bakat yang ada,” katanya.

Jelas pelakon itu, artis juga manusia yang ada melakukan kekhilafan dan beremosi, susulan itu dia mengharapkan netizen dapat mengurangkan kecaman agar ikatan perhubungan lagi kuat dijalinkan antara artis dan peminat.

“Tidak semua manusia sempurna, kita sebagai anak seni ini manusia biasa juga yang kadang kala beremosi atau ingin menjadi diri sendiri.

“Kadang kala, teringin nak tunjuk tetapi orang di luar sana sering kali mahu mengecam. Bagi saya, cuba letakkan diri anda dengan kami, baru rasa sendiri.

“Jika kurangkan kecaman dan terima sahaja apa yang kami lakukan, mesti ikatan antara peminat dan artis mesti lagi kuat,” tuturnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Nur ini akan terus menyekat segelintir yang ‘toksik’ di laman media sosialnya agar tidak terasa sakit hati dengan kata-kata kurang enak didengar yang diberi mereka.
“Riena ikut mood juga, kadang kala ada juga membalas pesanan mereka dengan bercakap elok-elok ataupun terus membuang pesanan mereka jika mendapat komen yang kurang enak dibaca.

“Ataupun, saya terus sekat sahaja mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak melihat kita lagi dan tidak sakit hati. Kita sekat sahaja mereka, senang. Mereka ini tidak fikir dahulu sebelum bercakap dan menyakitkan hati kita.

“Walhal kita tidak mengenali mereka pun tetapi tetap dihakimi. Apabila cakap tidak berlapik, kita sekat sahaja. Bila sudah menyekat, kamu semua tidak membuat dosa lagi dan saya pun tidak perlu melayan pesanan negatif anda lagi,” katanya lagi.

Versatil untuk kekal relevan

Tidak dinafikan, agak sukar anak seni pada waktu ini untuk namanya kekal relevan dan dikenali umum, terutama pendatang baharu.

Ini kerana, sekarang dapat dilihat setiap hari ada sahaja bakat-bakat baharu yang keluar dari serata platform.

Menurut pelakon muda ini, disiplin adalah asas penting bagi seseorang artis itu kekal relevan dalam dunia hiburan tempatan.

Tambahan pula, menjadi seorang pelakon versatil yang dapat membawa pelbagai genre dan karakter juga antara sebab pelakon itu sentiasa dikenali orang ramai.

“Sekarang ini orang luar nampak saya ini sebagai pelakon komedi pula. Jadi bagi saya, untuk kekal relevan dalam industri perlu menjaga disiplin, itu perkara penting untuk dijaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×