PRN Johor: UMNO, BN diarah gerakkan jentera pilihan raya - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO, BN diarah gerakkan jentera pilihan raya

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) diarah menggerakkan jentera masing-masing walaupun Plihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan sebulan lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, memandangkan PRN Johor akan melibatkan pengundi 18 tahun bagi pertama kali, usaha juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti golongan tersebut supaya keluar mengundi dan memilih BN.

“Gerak kerja perlu terus dilakukan oleh setiap jentera yang telah diberikan tanggungjawab masing-masing supaya UMNO dan BN terus menjadi parti yang dapat menarik pengundi kelak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, beliau pun sudah hampir selesai mengadakan pertemuan dengan kesemua 26 bahagian UMNO di Johor dalam usaha untuk meningkatkan strategi menghadapi lawan di samping menambah baik kaedah berkempen sama ada secara bersemuka atau maya.

Beliau mengulas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, penetapan tarikh tersebut tentunya mengambil kira beberapa perkara penting termasuk hari penamaan calon, tempoh berkempen dan sesi mengundi awal.

Katanya, selepas pengumuman dibuat oleh SPR, kesemua parti-parti bertanding kini sudah tentu menantikan pula prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Johor oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Tumpuan selepas ini akan terarah kepada Kementerian Kesihatan dan MKN yang akan menentukan SOP PRN Johor sama ada sama seperti di PRN Melaka dan Sarawak atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×