Malaysia ditawar sertai program TF-X - Utusan Malaysia

Malaysia ditawar sertai program TF-X

DR. ISMAIL Demir ketika bercakap dalam pertemuan dan sesi lawatan delegasi media di Ankara, Turki, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA, Turki: Kerajaan Turki membuka tawaran kepada Malaysia menyertai pembangunan sistem pertahanan menerusi pelaburan jangka panjang termasuk membina pesawat pejuang generasi kelima TF-X.

Presiden Pertahanan Turki, Prof. Dr. Ismail Demir berkata, tawaran tersebut dibuat selepas melihat potensi dan kerjasama serta hubungan rapat antara kedua-dua dua negara selain Indonesia di Asia Tenggara.

Katanya, kerjasama itu secara tidak langsung membuka peluang kepada Malaysia untuk pembangunan pertahanan pelbagai aspek terutama melibatkan kepakaran teknologi serta tenaga mahir.

“Hubungan kami memang rapat sejak dulu lagi dan saya sangat berharap Malaysia dapat menyertai projek pembangunan pertahanan termasuk jet pejuang generasi kelima TF-X bermula di peringkat awal pembangunan.

“Ini kerana ia sangat mencabar dengan memerlukan banyak sumber manusia dan kewangan. Manfaat jangka panjang keutamaan kami dan mahu melangkah ke hadapan dengan Malaysia serta menggunakan sumber yang ada secara bersama,” katanya semasa pertemuan dan sesi lawatan delegasi media di sini semalam.

Sebagai rekod, prototaip pertama pesawat pejuang TF-X itu dijangka siap pada tahun 2023 dan mula terbang pada tahun 2025.

Pesawat canggih berkenaan dijangka mula memasuki perkhidmatan Tentera Udara Turki pada tahun 2030 bagi menggantikan perkhidmatan pesawat pejuang F-16.

Sebagai rekod, kerjasama pembangunan pesawat pejuang generasi kelima TFX dipergiatkan selepas Turki digugurkan daripada program F-35.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Turki akan melihat potensi komoditi yang boleh diketengahkan termasuk kelapa sawit sekiranya proses perolehan pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet berjaya dilaksanakan.

“Sebenarnya ada banyak kaedah (pembayaran) jika diperincikan dan ada banyak komoditi. Jadi ini prinsip yang kami gariskan.

“Malaysia tidak boleh dan tidak seharusnya berasaskan satu sistem kewangan. Kita akan lihat nanti apakah potensi lain untuk produk komoditi dari Malaysia termasuk kelapa sawit,” ujarnya.

Berkenaan isu politik dan pertukaran kerajaan Malaysia sebelum ini, beliau berkata, Turki sentiasa bersikap terbuka serta mahu mengekalkan hubungan baik tanpa mengira parti politik yang memerintah.

“Secara amnya, pendekatan kami ialah sesiapa yang berkuasa di Malaysia, kami akan sentiasa mengambil pendekatan mesra dengan kerajaan memerintah. Ini adalah dasar kami,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×