SPRM siasat pengarah kanan guna kad kredit - Utusan Malaysia

SPRM siasat pengarah kanan guna kad kredit

Suhaili Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah pasukan siasatan lain akan ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan penggunaan kad kredit korporat syarikat Mara Corporation (Mara Corp.) membabitkan seorang pegawai kanannya.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, siasatan sudah dimulakan sebaik aduan diterima SPRM.

Menurut beliau, aduan itu akan diteliti secara adil dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) siasatan.

“Biar kami jalankan siasatan terlebih dahulu dan diharap tiada pihak mengambil kesempatan timbulkan spekulasi,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ditemui Utusan Malaysia mengesahkan tiada sebarang aduan diterima SPRM mengenai dakwaan salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif Mara Corp. berhubung penggunaan kad kredit korporat agensi itu.

Kata beliau, siasatan bagaimanapun akan dijalankan sekiranya terdapat aduan dibuat kepada SPRM.
Kelmarin, salah seorang daripada lima pegawai Mara dilapor membuat laporan mendakwa penggunaan kad kredit Mara Corp. untuk tujuan peribadi.

Bagaimanapun, Datuk Suhaili Abdul Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia menafikan dakwaan itu.

Kata beliau, penggunaan kad kredit tersebut adalah bagi menjaga nama baik Mara Corp. yang mana beliau ketika itu diminta menaja majlis makan malam pada bulan Ramadan khas untuk anak yatim dan pelajar.

Sebelum ini, tular gambar sekeping resit yang menunjukkan Suhaili menggunakan kad kredit Mara Corp. didakwa membayar lebih RM5,000 untuk makan malam pada Ramadan tahun lalu.
Makan malam itu diadakan di sebuah restoran di Labuan pada 17 April 2021 dengan tertera perkataan parti Bersatu di atas resit tersebut.

Mengulas lanjut, Suhaili turut berkata, apa yang dilakukan bukanlah jenayah dan wang tersebut boleh dibayar kembali dengan potongan daripada gaji bulanannya.

Suhaili adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dilantik di Mara pada tahun 2021 di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×