APABILA artis tersohor, Whoopi Goldberg mengaitkan peristiwa holocaust tiada kena mengena dengan faktor bangsa tetapi sebenarnya pertembungan di antara dua kumpulan manusia berkulit putih, kenyataan tersebut dilabel sebagai antisemitik dan kecaman terhadap artis itu adalah begitu pantas sekali. Whoopi terpaksa meminta maaf dan digantung daripada program The View oleh saluran televisyen, ABC.
Sensitifnya komen Whoopi kerana dituduh cuba meremehkan peristiwa holocaust dan kesengsaraan dilalui oleh enam juta orang Yahudi yang dibunuh oleh Nazi Jerman, lapan dekad lalu. Naratif holocaust yang lazim adalah Nazi Jerman berpendapat, mangsa disasar adalah kumpulan daripada bangsa Yahudi yang dianggap lebih rendah martabat mereka, iaitu holocaust ada kena mengena dengan faktor bangsa.
Beberapa hari selepas insiden Whoopi, Amnesty International (AI) mengeluarkan laporan yang antara lain mendakwa Israel mengamalkan dasar aparteid. Laporan yang dianggap tidak menghairankan kerana selari dengan pendapat pelbagai pertubuhan hak asasi sebelum ini apabila menilai layanan rejim Tel Aviv terhadap bangsa Palestin.
Antara lain, AI melaporkan tidak kira sama ada bangsa Palestin itu berada di Gaza, Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan juga di Israel sendiri sebagai rakyat Israel, mereka ini dianggap bangsa dan rakyat yang rendah martabatnya dan dengan secara tersusun dihalang hak asasinya.
Tidak menghairankan apabila secara kilat, Tel Aviv dan Washington menepis laporan AI itu sebagai pendapat dongeng semata mata kerana negara yang dikaitkan dengan amalan aparteid dianggap amat terkeji sekali seperti pernah dilalui oleh Afrika Selatan beberapa dekad lepas.
Malaysia juga tidak terkecuali dinilai oleh negara lain atau organisasi antarabangsa dan sering juga hasil penilaian itu kurang disenangi, berat sebelah dan tidak sesuai untuk diguna pakai.
Umpamanya, pengamalan hak asasi di Malaysia dinilai setiap lima tahun melalui proses dinamakan Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertama kali kita dinilai pada 2009 diikuti 2013 dan terkini 2018.
Dalam setiap kitaran penilaian, terkandung komen dan cadangan berkait negara yang dinilai. Antara yang dianggap berat sebelah ialah Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama kerana melarang pertukaran anutan agama dalam kalangan rakyat beragama Islam. Begitu jua Malaysia dituduh tidak memberi layanan setimpal terhadap kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sebab itu tidak semua cadangan UPR diterima pakai oleh Malaysia kerana sesetengahnya tidak menggambarkan keadaan sebenar. Terdapat 268 cadangan UPR 2018 dan daripada jumlah itu, 147 cadangan diterima dan diperakui, 37 diterima dengan beberapa pembetulan dan 84 cadangan ditolak.
DARURAT
Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) setiap tahun, jarang sekali Malaysia berada dalam kedudukan yang dihormati. TIP 2021 meletakan Malaysia pada tangga terendah iaitu Tahap 3 bersama-sama Afghanistan, Myanmar, Nicaragua, Korea Utara, Sudan Selatan dan Venezuela.
Memang agak mengaibkan apabila Malaysia dilonggokkan dengan negara yang dianggap tahap hormat hak asasi adalah begitu rendah tetapi itulah hakikatnya jika dikaitkan dengan isu pemerdagangan manusia. Antara faktor yang merentap kedudukan Malaysia adalah isu pekerja di sektor perkilangan dan perladangan yang dianggap mirip kepada perlakuan perhambaan era moden.
Memang diakui ada kelemahan tetapi oleh kerana definisi pemerdagangan manusia antara Jabatan Negara AS dan Malaysia agak berbeza sedikit, maka sebab itu juga kelihatan kerajaan tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki proses pengambilan pekerja sektor tersebut.
Begitu jua dengan kedudukan negara yang agak membimbangkan kerana semakin merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 keluaran pertubuhan Transparency International (TI). Ada kemungkinan disebabkan persepsi rasuah dalam politik berleluasa apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik tidak mendapat perhatian dan juga senario wakil rakyat sering bertukar parti.
Begitu juga perlanggaran hak asasi demi kepentingan politik tercetus yang antara lain disabitkan oleh pengisytiharan darurat yang dikaitkan dengan strategi menangani ancaman pandemik Covid-19. Hakikatnya, beberapa insiden berkait politik mungkin telah mengaburkan persepsi mengenai rasuah di Malaysia yang mengakibatkan skor purata dalam perkara yang dinilai jatuh ke 48 daripada 51 mata untuk tahun sebelumnya.
Mungkin jua jika RUU Pembiayaan Politik dan Lompat Parti dapat dimuktamadkan secepat mungkin, ada kemungkinan skor purata yang diperoleh menjadi lebih baik untuk 2022. Kebenarannya adalah rakyat tidak menghargai ahli politik yang mengamalkan rasuah, berasa jijik dan aib terhadap setiap pengamalan rasuah. Rasuah di Malaysia tidak boleh dianggap berleluasa berlaku sehingga dianggap sebagai kelaziman. Masalahnya ialah dalam hal memperbaiki kedudukan dalam CPI, kekuatan melakukan perubahan perlu bermula daripada orang politik.
Tidak kira sama ada saranan terkandung dalam UPR, TIP atau CPI kadang kala kelihatan begitu berat sebelah dan tidak sesuai sekali, kita terima yang baik dan perbaiki ke arah pembaikan manakala saranan dianggap tidak sesuai, paling tidak dimaklumkan kepada pihak yang membuat saranan.
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).











