Muhyiddin sendiri yang koyak - Shahrir - Utusan Malaysia

Muhyiddin sendiri yang koyak – Shahrir

SHAHRIR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO tidak perlu berusaha untuk ‘membunuh’ karakter Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu yang ‘koyak’ sendiri.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, Muhyiddin juga bukanlah seorang individu atau pemimpin yang mengamalkan demokrasi dalam pentadbirannya.

“Tak payah bunuh karakter Mahiadin (Muhyiddin) pun. Presiden Bersatu itu yang ‘koyak’ sendiri. Satu negara menyaksikan tak pasal-pasal Parlimen digantung. Sampai Raja-raja Melayu pula yang terpaksa selamatkan demokrasi Berparlimen. Tan Sri Muhyiddin bukan seorang demokrat pun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau membuat kenyataan itu sebagai mengulas dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berkata, strategi UMNO adalah membunuh karakter Muhyiddin dengan pelbagai tohmahan bagi menidakkan kejayaan mentadbir negara ketika menjadi Perdana Menteri.

Wan Saiful turut dilaporkan berkata, UMNO juga dilihat mahu membunuh karektor Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kerana cemburu dengan kerjasama antara Bersatu dan Pas, baru-baru ini.

Sementara itu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru memberitahu, Wan Saiful tidak perlu mengugut-ugut UMNO, sebaliknya beliau perlu meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk terus menekan butang.

“Kemudian (kerana) nak selamatkan jawatan, buat tawaran kepada pembangkang yang dikhianatinya sendiri. Mana mahu pembangkang nak tengok Mahiadin (Muhyiddin) kekal sebagai Perdana Menteri. Wan Saiful janganlah pula nak teruskan main ugut. Minta Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN tekan butang je lah,” tambahnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN