Memanah berkuda tradisional tuntut kerjasama, kepercayaan - Utusan Malaysia

Memanah berkuda tradisional tuntut kerjasama, kepercayaan

Memanah sambil menunggang kuda memerlukan fokus dan ketajaman mata.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEBARAN terasa sebaik melihat pemanah memegang busur sambil memacu kuda dengan laju.

Anak panah yang diletakkan di belakang badan diambil satu persatu kemudiannya dilepaskan tepat ke sasaran dengan tangkas serta pantas.

Sebaik sahaja sasaran berjaya dipanah, semua peserta yang rata-rata masih baharu dalam sukan ini akhirnya berjaya mempelajari ilmu yang menjadi salah satu sunnah Rasulullah SAW ini.

Berkecimpung dalam sukan ini sehingga mahir bukanlah sesuatu yang mudah kerana menuntut kerjasama dan kepercayaan tinggi antara pemanah serta kuda selain bergantung kepada naluri untuk melepaskan anak panah.

Apakah perbezaan antara memanah statik dan menggunakan haiwan seperti kuda?

Jurulatih Kelab Zawra, Abu Dzar Zakaria, 36, berkata, banyak perbezaan antara memanah secara statik di lapangan dengan memanah sambil menunggang kuda.

“Menggunakan haiwan tunggangan menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Sehebat manapun seseorang pemanah terbabit, mereka dituntut untuk memahami karakter kuda sebelum satu-satu pertandingan itu berlangsung.

“Dalam pertandingan, setiap peserta yang menunggang kuda tidak boleh jatuh dan pergerakan kuda dari garis mula sehingga penamat perlu berada dalam keadaan canter (larian kuda pantas dan cermat).

“Jika kuda tiba-tiba berhenti atau berubah pergerakan daripada canter kepada trot (larian kuda sederhana pantas) sesuatu penyertaan itu akan terbatal. Sebab itulah pentingnya hubungan antara pemanah dan kuda. Perlu kenal karakter kuda yang akan kita tunggang terlebih dahulu. Setangkas mana kita sekalipun, kalau kuda buat hal, kita boleh tersingkir,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pusat ekuin Cape Cavalho, Rembau baru-baru ini.

Antara jenis kuda yang biasa dijadikan tunggangan ialah jenis baka Arab, KKA dan Thoroughbred dengan saiz 60 inci atau bersamaan 15 hands. Manakala pemanah wajib menggunakan busur jenis tradisional.

LOBAK MERAH & KEPERCAYAAN
Menurut Abu Dzar lagi, format pertandingan memanah berkuda adalah pelbagai. Ada juga kategori jungle hunting yang seakan-akan sedang memburu.

Katanya, ada beberapa tips yang boleh digunakan untuk mewujudkan kepercayaan antara pemanah dan kuda antaranya dengan memberi lobak merah kepada haiwan tersebut.

“Pemanah perlu cepat mengenal karakter kuda yang mempunyai pelbagai sifat dalam satu-satu pertandingan untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Salah seorang pemanah berkuda, Mohamad Herwan Mustafa, 38, memberitahu, selepas melihat pelbagai aksi lasak di media sosial, dia mulai tertarik menyertai sukan memanah berkuda.

Beliau yang sebelum ini hanya memiliki ilmu asas memanah sahaja, mengakui langsung tidak pandai menunggang kuda sebelum ini.

“Apabila saya menyertai kursus memanah berkuda, barulah saya tahu ia memang berbeza. Kita perlu fokus selain memiliki ketahanan fizikal dan mental. Bayangkan kita perlu bertindak dengan begitu pantas untuk pastikan anak panah tepat mengenai sasaran,” katanya berkongsi pengalaman.

Sementara itu bagi Mohd Kasuraidi Deraman, 46, memanah berkuda banyak mengajar dirinya mengenai kesabaran yang tinggi dan ketepatan dalam membuat keputusan.

“Sebagai contoh, bagaimana kita mahu mewujudkan kepercayaan dan kerjasama antara kita dengan kuda. Malah, saya juga diajar untuk buat keputusan yang pantas dengan mengikut gerak hati lebih-lebih lagi sewaktu melepaskan anak panah.

“Sewaktu memanah berkuda ini, paling penting beberapa meter sebelum tiba di sasaran kita sudah siap sedia dengan anak panah. Segalanya perlu dilakukan dengan pantas,” ujarnya.

Sukan kian berkembang
Pengurus Operasi Cape Cavalho yang hanya mahu dikenali sebagai Wak Lan, yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, sukan memanah berkuda akan berkembang dan mendapat sambutan masyarakat.

Sukan berkuda memiliki disiplin tertentu seperti endurance, dressage, jumping dan eventing, namun ramai orang yang masih kurang faham konsep dan peraturan digunakan dalam keempat-empat sukan berkuda ini.

“Sewaktu memanah berkuda, ia melibatkan aksi dan debaran. Banyak perkara yang boleh terjadi di saat kuda berlari sehinggakan ada yang jatuh daripada kuda. Itu belum lagi sasaran dan panahan ketika menunggang yang ada kalanya mengalami pelbagai masalah teknikal.

“Justeru, orang ramai perlu ambil peluang belajar kerana kemudahan sukan memanah berkuda sudah ada. Inilah masa terbaik untuk kita gilap bakat dan pelajari perkara baharu. Tidak mustahil kita boleh lahirkan atlet terbaik dan juara dunia satu hari nanti,” katanya. Pusat itu dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari sukan lasak itu.

Mengulas mengenai Cape Cavalho, Wak Lan berkata, selain memanah berkuda, premis berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti lain seperti kelas menunggang kuda, aktiviti outride dan joyride.

Ia turut menjadi pusat penternakan kuda daripada pelbagai jenis baka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×