Dakwah dalam hiburan cara Adib Zahar - Utusan Malaysia

Dakwah dalam hiburan cara Adib Zahar

Adib Zahar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUGAS hakiki sebagai seorang pendidik, bukanlah penghalang buat Adib Zahar meneruskan impiannya bergelar anak seni.

Menerusi penghasilan sebuah karya berjudul, Akur, Adib mengorak langkah untuk melebarkan sayap dalam bidang hiburan meski mungkin ada yang beranggapan, dunia pendidikan dan glamor, tidak mampu bergerak seiring dalam satu medan masa yang sama.

Namun bagi dirinya, asal ada kesungguhan, tiada apa yang mustahil dicapai.

Bermula dengan karya Akur yang dihasilkan pada Februari tahun lalu, penyanyi ini yang menjalin kerjasama dengan Fusion Records MY kemudiannya membawa khabar gembira dengan melancarkan pula single terbaru berjudul Waktu.

Adib atau nama sebenarnya, Muhammad Adib Aiman Zahariman berkata, kali ini istimewanya dia bekerjasama dengan Produksi Karya Positif, sebuah label muzik yang juga masih baharu ditubuhkan pada tahun ini.

“Tidak dinafikan, sebagai seorang penyanyi lagu berunsur dakwah, saya teruja untuk berkongsikan khabar gembira ini setelah kali terakhir merakamkan lagu pada tahun lalu. Lagu Akur mengisahkan tentang bagaimana kita sebagai manusia tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan dan diuji pada bila-bila masa oleh Allah S.W.T.

“Sebagai khalifah di muka bumiNya, kita juga seharusnya menerima sebarang ujian dari Allah dengan hati yang terbuka, mengetahui Allah tidak akan menguji di luar kemampuan hambaNya.

“Sebagai manusia kita hanya boleh berharap kepada Allah untuk dalam segenap perkara seharian. Jika kita melakukan sebarang kesalahan, mohonlah ampun kepada Allah, kekecewaan dan renunglah kita sebagai manusia. Semoga ia sentiasa membawa kita kembali ke jalan yang benar,” katanya.

PROSES PANJANG
Penyanyi berusia 24 tahun ini, memberitahu lagu ini melalui satu proses sangat panjang – iaitu melalui tiga fasa, mengambil masa lebih kurang 10 tahun dengan membabitkan enam orang teman rapatnya.

“Pada peringkat permulaan, impian untuk melancarkan lagu ini terkubur disebabkan kekurangan dari sudut persediaan vokal dan juga faktor kurang pengalaman. Jadi belum sampai rezeki pada waktu itu untuk ke arah penerbitan dan kami mengambil keputusan untuk mengambil haluan masing masing.

“Pada fasa kedua, pada tahun 2017 sewaktu saya belajar di kolej saya bersama tiga orang lagi terdetik untuk bawa lagu Akur ini yang sebelumnya dinamakan tajuk Hilangkah Aku untuk kami nyanyi sekali alang-alang kami berada di studio.

“Ketika itu saya ubah lirik lagu ini dan kami hanya sempat untuk merakamkan suara sahaja dan belum ke fasa mixing dan mastering. Tetapi disebabkan kami masih dalam belajar, jadi kami terpaksa menunda seketika hasrat tersebut untuk terbitkan lagu ini dan membawa haluan masing masing,” katanya.

Dalam pada itu, fasa ketiga tahun 2021, Adib berkata , dia telah mengubah semula lagu dan juga tajuk menjadi judul Akur memandangkan mahu selari dengan konsep kehambaan.

“Alhamdulillah lagu ini diterima baik oleh lima individu yang saya ceritakan tadi dan sekiranya diberi peluang saya akan kumpul semula mereka untuk berkolaborasi bersama pada masa akan datang, insya-Allah.

“Saya juga suka dengan cara dakwah dalam hiburan seperti ini kerana percaya, bahawa sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada umat sejagat boleh disampaikan dengan cara yang positif walaupun dalam bentuk hiburan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×