Kewujudan golongan sesat sentiasa wujud pada setiap masa dan tempat disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.
Ajaran sesat didefinisikan sebagai ajaran yang bertentangan dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias serta bercanggah dengan pegangan atau pandangan Ahli Sunnah wa al-Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah, syariat dan akhlak yang didukung oleh orang Islam atau bukan Islam dengan dakwaan bahawa ajaran tersebut adalah berlandaskan ajaran Islam.
Kategori dan ruang lingkup ajaran sesat merangkumi tiga aspek iaitu kepercayaan atau akidah, pengamalan atau syariat dan akhlak atau pengabdian antara hamba bersama Tuhannya. Antara impak negatif ajaran sesat:
1- Mencemari kesucian ajaran Islam
Dakwaan bahawa semua agama adalah sama atau penyatuan semua agama termasuk Islam ke dalam satu agama baharu adalah suatu kesesatan.
Misalnya, ajaran pluralisme agama yang mendakwa tiada satu pun agama tunggal dan eksklusif yang boleh disifatkan sebagai agama yang benar.
Sedangkan, Islam adalah agama yang telah lengkap dengan pengutusan nabi dan Rasul-Nya yang terakhir iaitu Nabi SAW. Justeru itu, dakwaan wujud kitab lain selain al-Quran, nabi baharu samada nabi yang bersifat universal atau setempat seperti Rasul Melayu, syariat baharu atau tafsiran baharu terhadap syariat yang telah jelas dalam al-Quran dan Sunnah adalah ajaran menyeleweng dan sesat.
Firman Allah SWT bermaksud:
Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu” (Surah al-Maidah: 3).
2- Mengagungkan pemimpin secara salah
Perbuatan keterlaluan yang menganggap para pemimpin adalah suci seperti bersifat maksum (tidak berdosa), sebagai Imam Mahdi, Nabi, jelmaan Tuhan atau Tuhan.
Misalnya, ajaran Qadiani menganggap pemimpin mereka sebagai Imam Mahdi kemudian sebagai Nabi Isa. Selain itu, wujud dakwaan pemimpin atau guru ajaran mereka memegang kunci pintu syurga dan dapat menentukan siapa yang dijamin masuk syurga. Seterusnya, wujud dakwaan pemimpin atau guru boleh menebus dosa dengan wang atau dengan penyerahan diri zahir dan batin.
Islam membenarkan perbuatan menghormati, menyantuni, berkhidmat serta mentaati guru atau pemimpin dalam batas yang dibenarkan syarak. Namun, apabila ketaatan kepada guru atau pemimpin menafikan ketaatan serta kepatuhan kepada Allah SWT maka itu adalah kesalahan dan kesesatan.
Allah SWT telah menegur sikap Bani Israel yang mengagungkan pendeta bahkan mempertuhankan Nabi Isa AS dalam ayat yang bermaksud:
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan” (Surah al-Taubah: 31)
3- Terpengaruh perkara ghaib
Dakwaan mengetahui perkara akan datang atau mampu berinteraksi dengan jin, syaitan, roh, para wali, para nabi dan para malaikat. Misalnya, amalan menyeru nama orang yang telah meninggal dunia atau roh tertentu dengan jampi sebagaimana yang dilakukan oleh bomoh, dukun atau pawang yang mengamalkan ilmu hitam.
Sedangkan perkara ghaib adalah perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja dan manusia terpilih yang diizinkan Allah SWT untuk mengetahuinya.
Lantaran itu, masyarakat Islam disarankan sentiasa belajar meningkatkan ilmu pengetahuan agama yang sahih dan berpegang dengan akidah ASWJ yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan bersandarkan sumber al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qias.
Pihak berautoriti agama perlu turut memainkan peranan penting dalam pemeliharaan agama selaras maqasid syariah terutama ketika masyarakat Islam mudah terpengaruh dengan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu yang tular dalam kecanggihan teknologi masa kini.










