GEORGETOWN: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan bagi mengelak lebih banyak permainan politik dalam kalangan pemimpin tertentu sehingga mencetuskan ketidakstabilan dalam pentadbiran negara.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, beliau bimbang melihat ‘gelagat’ pemimpin tertentu yang mengamalkan politik secara ugutan demi mengekalkan kuasa.
Katanya, politik ugutan itu sekiranya terus diamalkan menyebabkan keseimbangan dan kestabilan politik negara ini hancur serta pelabur asing lari meninggalkan negara ini.
“Saya berpandangan wajar jika PRU-15 disegerakan bagi mengelakkan lebih banyak permainan politiking berlaku dalam kalangan pemimpin parti.
“Kita bimbang sekiranya situasi yang tidak menentu ini dibiarkan rakyat yang menjadi mangsa akibat ketidakstabilan politik dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sebelum ini, beberapa pihak menggesa agar PRU-15 diadakan segera selepas semakin banyak kecelaruan politik berlaku di dalam negara sehingga menggugat kestabilan Kerajaan Pusat.
Selain itu, para penganalisis politik juga berpendapat hanya PRU-15 dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku membabitkan perebutan kuasa antara parti-parti politik.
Menurut Mohd. Yussof, Kerajaan Pusat perlu berada dalam keadaan stabil bagi menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini serta membuat dasar-dasar yang dapat membantu rakyat keluar daripada kemelut ekonomi pasca pandemik Covid-19.
“Kita dapat lihat rakyat masih bergelut untuk meneruskan kehidupan dan kes-kes jangkitan Covid-19 pula semakin meningkat.
“Negara memerlukan keadaan politik yang stabil untuk membolehkan kita keluar daripada kemelut ekonomi serta dapat menangani wabak ini dengan lebih berkesan,” katanya.
Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar mempertimbang saranan untuk diadakan PRU-15 itu dengan segera untuk menyelamatkan rakyat dan negara ini daripada kancah ketidaktentuan politik.
“Rakyat sedang gelisah apabila ahli politik saling bercakaran sesama sendiri, hentikanlah perkara ini dan tumpukan kepada pemulihan ekonomi selepas PRU-15 diadakan untuk wujudkan Kerajaan Pusat yang kukuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE











