‘Nak angkat muka depan ayah pun takut…’ - Aishah - Utusan Malaysia

‘Nak angkat muka depan ayah pun takut…’ – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH tiga dekad figura bersuara emas ini mencurah bakti seni. Itu sudah cukup untuk melayakkan beliau menjadi legenda yang disayangi. Datuk Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 57, adalah penyanyi disegani. Lagu-lagunya menjadi siulan dan mewarnai. Bagi peminat, beliau istimewa.

Saya antara ribuan yang mengagumi anak kelahiran Negeri Sembilan ini. Pada saya, Aishah penyanyi yang besar kecintaannya kepada dunia seni. Itu terbukti. Sehingga hari ini, dia masih bertahan di sini.

Namanya mengharum kerana bakat yang diberi. Kontroversi? Jauh sekali. Boleh dikira dengan jari. Saya manfaatkan peluang kali ini. Menulis tentang seorang permata seni. Ini bukan pertama kali saya hubungi Aishah. Tetapi, baru-baru kami berbual agak lama.

Banyak cerita tentang beliau yang mungkin tidak kita ketahui. Jadi, kali ini, perkongsian penyanyi lagu Camar Yang Pulang ini saya coretkan di ruangan ini.

Permata seni ini dibesarkan di Kuala Lumpur, dalam keluarga yang sederhana. Cerita Aishah, ayahnya seorang pengetua sekolah. Justeru katanya, pendidikan itu amat diutamakan dan menjadi penyanyi, asalnya bukan pilihan.

“Ayah seorang yang sangat tegas. Kita nak angkat muka depan dia pun takut. Penyertaan dalam pertandingan nyanyian sebolehnya saya rahsiakan daripada pengetahuannya.

“Keluarga saya memang minat muzik. Tetapi tak adalah nak jadikan sebagai kerjaya. Yang jadi penyanyi hanya saya. Itu pun sekitar 1987, setelah ayah sudah tiada,” ceritanya.

Rezeki Allah SWT yang tetapkan. Meskipun berpendidikan dalam bidang perundangan, jalan sebagai penyanyi Allah permudahkan.

Pada era kegemilangan, banyak kejayaan yang penyanyi ini kecapi. Mungkin generasi sekarang ramai yang tidak mengetahui, Aishah pernah dinobatkan Bintang Paling Popular dan Penyanyi Paling Popular Anugerah Bintang Popular pada 1990.

Beliau juga antara penyanyi Malaysia yang berjaya di luar negara, ketika menganggotai kumpulan antarabangsa, Aishah and The Fan Club sekitar penghujung 1980-an. Paling membanggakan salah satu lagu kumpulan itu, Don’t Let Me Fall Alone berjaya menembusi carta Billboard Hot 100 satu masa yang lalu.

KUALA LUMPUR, 12 November 2017 – Penyanyi Aishah membuat persembahan pada Konsert Gegar Vaganza minggu ke-3 berlansung di Stadium Putra di sini, hari ini.
GAMBAR : FAIRUZ IZYANA AYUB
PEMBERITA : HAIKAL (hib kosmo!)

Namun, langit tidak selamanya cerah. Kumpulan tersebut yang bertahan selama empat tahun akhirnya bertemu titik penghujung. Pada ketika mereka hampir mencapai kemuncak populariti.

“Lebih empat tahun saya berada di New Zealand. Masa itu kami sudah bina momentum, selepas album kedua dipasarkan. Malangnya, momentum itu menurun kerana kerja-kerja promosi lagu Don’t Let Me Fall Alone tidak dibuat sepenuhnya.

“Walhal selepas lagu itu, ada satu lagi single yang kami rasakan sesuai untuk dikeluarkan pada masa itu. Saya berpendapat, kegagalan kumpulan tersebut untuk bertahan adalah berpunca daripada pengurusan yang kurang memberi impak.

“Jadi masing-masing tawar hati. Bawa haluan sendiri. Lama kelamaan, kumpulan kami terkubur begitu sahaja,” ujarnya.

Kata Aishah, meskipun sudah membawa haluan masing-masing, ada di antara mereka yang masih berhubung.

“Bukan semua. Yang aktif, saling mengikuti antara satu dengan lain di media sosial. Kadang, ada yang kongsi kenangan, tunjuk gambar-gambar lama.

“Dalam hati saya ya Allah, mana engkau dapat gambar-gambar lama ini. Tapi iyalah, mengimbau kenangan. Kami sangat rapat. kerana menjelajah bersama-sama, membuat persembahan,” katanya lagi.

SLUG: FINAL GEGAR VAGANZA
ISKANDAR PUTERI, 17 DISEMBER 2017 – Aishah menjuarai Gegar Vaganza musim ke 4 pada Konsert Akhir Gegar Vaganza musim ke4 di Pinewood Studio di sini hari ini. Gambar: RAJA JAAFAR ALI / pemberita: ifdar, haiqal, zulhelmi (utusan/kosmo)

Disoal sama ada pernah dia merasa terasing hanya kerana dirinya seorang wanita Asia dalam sebuah kumpulan majoriti dianggotai lelaki Inggeris, jawabnya tidak. Kata Aishah, mereka profesional dan bijak mengasingkan antara hubungan sekerja dan kawan biasa.

“Tak pernah sedikit pun (rasa terasing). Kami berkawan baik. Tak timbul awak orang Malaysia, Mat Salleh ke, tak ada. Semua tentang muzik dan persembahan.

“Kerja dengan mereka senang. Kalau salah, mereka depan-depan. Begitu juga dengan saya, bebas memberi pandangan dan menyatakan kemahuan.

“Bila habis kerja, kami luangkan masa, bersantai macam biasa. Jadi macam itulah budaya kerja mereka. Tak ada cakap depan lain, belakang lain,” tambahnya.

Pengiktirafan lebih tiga dekad

Pada 14 Januari lalu, penyanyi kesayangan ramai ini telah dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Aishah mengakui, dia amat terkejut dengan penghargaan yang diberikan. Baginya, itu satu hadiah teristimewa yang dianugerahkan kepadanya sepanjang hampir lebih tiga dekad berkhidmat dalam industri seni suara.

“Alhamdulillah. Macam tak percaya. Bagi saya, itu satu penghargaan yang sangat besar. Dah menginjak hampir 36 tahun dalam industri dan masih di sini, menyanyi dan mengeluarkan lagu.

“Saya rasa saya bertuah kerana masih boleh aktif dalam industri. Saya buat semua ini dengan ikhlas. Masuk industri bukan untuk penganugerahan. Sebaliknya kerana minat terhadap muzik dan seni.

“Tetapi bila diberi penganugerahan, bermaksud orang iktiraf dan hargai keberadaan saya dalam industri, kelakuan, pendirian dan apa yang saya bawakan,” katanya.

Jelas ibu kepada dua anak ini lagi, penghargaan dan pengiktirafan tidak akan mengubah siapa dirinya yang sebenar. Baginya, semua ini adalah kurniaan Tuhan yang mengajar diri untuk terus ‘membumi’ dan merendah diri.

“Saya dikenali sebagai artis untuk satu tempoh yang agak lama. Untuk merasakan diri ini istimewa atau popular, itu sudah tiada. Bukan macam mula-mula dahulu, orang kenal dan saya merasakan diri sedikit famous.

“Selepas 35 tahun, saya rasa biasa-biasa sahaja. Ia tidak mengubah saya sebagai Aishah. Itu saya kena asingkan.

“Satu sahaja yang saya pegang. Sebagai hamba Allah SWT, kita semua tak ada apa. Semua pinjaman. Sekelip mata kita dapat, dan sekelip mata juga boleh ditarik. Itu pendirian saya, yang mengingatkan diri,” katanya.

‘Sesuatu’ tentangKetentuan Takdir

Baru-baru ini, Aishah kembali mengubat rindu peminat dengan sebuah single baru bertajuk Ketentuan Takdir.

Lagu berentak balada itu membuktikan bahawa penyanyi ini masih kekal bertahan dan mampu tampil dengan karya baharu meskipun dunia nyanyian dibanjiri bakat-bakat baru yang silih berganti.

Soal saya kepadanya, apa yang membuatkan dia terbuka hati untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Agak lama juga saya rancang untuk kembali dengan single baharu. Baru sekarang saya temui lagu yang saya rasakan dekat dengan saya.

“Saya rasakan ada keserasian dengan lagu Ketentuan Takdir ini. Ditambah pula penulis, Datuk Habsah Hassan yang menulis liriknya.

“Sebenarnya banyak lagu yang datang kepada saya. Tapi lagu itu jugalah lagu yang saya pilih. Saya teruja dengan lagu ini,” katanya.

Penyanyi berkredibiliti seperti Aishah tentunya teliti dalam hal pemilihan lagu. Pastinya, bukan mudah bagi beliau menerima sebuah lagu untuk dihadiahkan kepada peminat.

“Kelakar. Satu masa tu memang fikiran berkecamuk. Lepas itu komposer, Chevy Amry hubungi saya, memberitahu tentang sebuah lagu yang ditulis Habsah.

“Liriknya kena pada saya. Yang pasti, dia tak tahu apa yang berlaku kepada saya pada ketika itu. Tapi, dia tembak, dahsyat. Tepat. Saya ini susah nak teruja. Tapi, lagu ini, bagi saya ada ‘sesuatu’ tentangnya,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×