TAK habis lagi stigma negatif sebahagian masyarakat terhadap muzik keras. Baru-baru ini ada lagi ditularkan komen warganet tentang pengaruh muzik keras dan memberontak yang dianggap mempengaruhi anak muda untuk melawan kerajaan, malah menghina agama. Sedangkan rakan-rakan metal yang saya jumpa elok saja baca doa sebelum makan.
Pemilihan genre oleh pemuzik ini tuan-tuan, hanya sekadar ekspresi seni. Mereka tertarik dengan muzik sebegitu lalu menghasilkan karya dalam jalan itu. Untuk menuduh mereka dengan pelbagai gelaran itu sangat tidak adil, lebih-lebih lagi apabila anda tidak cuba untuk dengar pun karya mereka.
Zerophobia, kugiran yang tampil dengan imej ganas dan nyanyian jeritan ini pun sangat baik pekertinya. Ada antara mereka yang panggil saya abang lagi waktu pertama kali berjumpa.
Keras yang unik
Berusaha mengubah stigma beberapa individu terhadap muzik keras ini sudah menghampiri tahap sia-sia. Orang akan tetap berfikir seperti yang mereka mahu dan kalau kita bentangkan fakta pun, mereka bukan mahu dengar.
Maka biarlah saya perkenalkan kugiran ini kepada anda kerana itu lebih penting.
Dianggotai lima anak muda yang berimpian besar, Zerophobia sudah kira-kira lima tahun berjuang dalam lapangan muzik secara independen. Aswad (vokal), Hayzeeq (gitar), Harith (gitar/vokal), Payish (bass) dan Fadhil (dram) telah mencapai beberapa kejayaan sebelum ini, namun pastilah ia belum cukup.
Saya mula kenal mereka apabila lagu Dursila yang menampilkan Leaism berjaya mara ke peringkat separuh akhir Anugerah Lagu Indie 2020. Antara persembahan yang menarik perhatian ketika itu kerana Zerophobia memberi warna yang berbeza bukan sahaja kepada pertandingan itu, malah lapangan muzik keras.
Kini mereka tampil dengan album pertama berjudul Sinner yang mengandungi sembilan lagu. Maknanya, selain Dursila, anda juga akan dihidangkan dengan lapan lagu lain yang menonjolkan keunikan mereka.
“Biasa orang kaitkan muzik metal dengan bunyi Barat. Di Malaysia juga, banyak kugiran metal memasukkan elemen Melayu dalam muzik mereka. Tapi kami cuba tampilkan kelainan dengan memasukkan bunyian Arab atau India dalam muzik kami,” terang Aswad.
Cerita insaf
Komposer utama Zerophobia, Hayzeeq bagaimanapun mengakui, mereka masih belum menemui bunyi pengenalan (signature) mereka setakat ini, namun sudah menghampiri ke tahap itu.
“Ini album pertama kami, jadi sukar untuk sampai ke tahap itu lagi. Tapi saya fikir, kami sudah hampir ke tahap itu,” katanya.
Dari segi bunyi, mungkin Zerophobia masih dalam proses mencari identiti. Namun, saya tertarik dengan pendekatan mereka dalam lirik yang dihasilkan.
Selepas bersembang, barulah saya tahu bahawa mereka menghasilkan Sinner sebagai sebuah album yang mempunyai penceritaan tersendiri. Setiap lagu disusun mengikut jalan cerita yang ingin disampaikan.
“Kami cuba menyampaikan kisah pergelutan seorang individu yang mahu berubah ke arah kebaikan. Sebagai contoh, lagu Dursila merupakan kemuncak kejahatan individu tersebut yang telah menjadi ketua ajaran sesat. Lagu Sinner pula fasa dia telah berubah tetapi masih berhadapan stigma negatif daripada masyarakat,” jelas Hayzeeq.
Saya secara peribadi selalu teruja dengan album dengan konsep sebegini. Terdapat kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila menikmati lagu-lagu itu secara tunggal dan secara kolektif. Ia memberikan perspektif yang berbeza terhadap satu lagu yang sama.
Hapuskan stigma
Yang menjerit tak semestinya jahat. Yang keras tak semestinya buruk. Ekspresi itu pelbagai dan muzik yang keras itu juga sebahagian daripadanya.
Saya sendiri bukan peminat tegar muzik metal tetapi selalu memutarkan lagu sebegini dalam keadaan emosi yang tertentu. Saya temui kehalusan dalam kekasaran bentuk muzik keras.
“Muzik metal ini hanya satu cabang seni. Mungkin ramai yang tak tahu, genre ini juga melibatkan penggunaan teknik yang tertentu dalam muzik. Seperti jeritan yang digunakan, juga mempunyai teknik-teknik tertentu.
“Setiap genre ada cara penyampaiannya tersendiri. Begitu juga metal, kami ada cara kami sendiri dan ia hanyalah satu bentuk seni yang kami sampaikan,” jelas Fadhil.
Saya boleh jamin, Zerophobia tidak sembah syaitan, tidak minum darah kambing dan tidak kokak itik serati di atas pentas. Jangan rasa takut untuk dengar karya mereka. Cuba dahulu.











