PUTRAJAYA: Penduduk Brunei masih mempunyai pilihan menyaksikan siaran televisyen digital terrestrial (DTT) percuma tanpa ada masalah ketika penyedia perkhidmatan televisyen satelit berbayar tunggal di negara itu, Kristal Astro mengumumkan penamatan kesemua siarannya bermula 12 tengah malam 1 April depan.
Sumber industri penyiaran berkata, format DTT itu dipancarkan terus dari Sarawak sejak lebih lima tahun lalu.
“Difahamkan MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. memang sudah maklum dan bersiap sedia beri liputan siaran yang terbaik untuk tontonan warga Brunei,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Notis yang dimuat naik menerusi laman sesawang rasmi syarikat Kristal Astro tular diperkatakan warganet di Malaysia dengan operator itu memberi alasan perkembangan teknologi pesat.
Kristal Astro mula beroperasi pada 24 Januari 2000 lalu, dengan menawarkan 70 saluran televisyen dan 26 saluran radio, namun langsung tiada saluran Radio Televisyen Brunei (RTB).
Mengulas lebih lanjut, sumber berkata, situasi itu dipercayai sering menjadi rungutan dalam kalangan warga Brunei sendiri yang patriotik dan antara punca kemerosotan pelanggannya.
“Sudahlah Kristal Astro tidak menyiarkan saluran RTB, banyak saluran popular dari Malaysia seperti TV3 juga tiada dalam pakej langganan bulanan dan situasi itu amat janggal,” katanya.
Rakyat Brunei yang majoritinya Islam amat meminati program berbentuk keagamaan seperti Tanyalah Ustaz, Halaqah dan Jejak Rasul di TV9 selain rancangan tertentu di TV AlHijrah.
Keadaan itu menyebabkan mereka mulai beralih kepada MYTV yang siarannya amat jelas dipancarkan dari Bukit Mas, Bahagian Limbang dan Bukit Lambir, Bahagian Miri di Sarawak.
Pada masa sama, penduduk di timur Sarawak dan Labuan pula dapat mengikuti tiga saluran televisyen DTT dan lima saluran radio FM milik RTB dipancarkan langsung dari Bukit Subok.
Penamatan operasi Kristal Astro juga difahamkan telah menyebabkan pelanggannya di Brunei mula sibuk membeli dekoder DTT dan antena untuk dipasang di rumah sebelum 31 Mac ini.
“Bagaimanapun, cakera parabola sedia ada masih boleh terima siaran MYTV dengan hala arahnya menghadap tujuh menara ‘direct-to-home’ yang terletak sekitar Sarawak,” kata sumber.
Penyedia platform penyiaran digital dirasmikan pada 2017 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu, ketika ini menawarkan 18 saluran televisyen dan 14 saluran radio.
Inisiatif itu memberi manfaat 6.2 juta isi rumah B40 di Malaysia, malahan mereka menetap di utara Semenanjung dan selatan Johor turut menerima puluhan saluran DTT dari negara jiran.
Begitu juga penduduk di selatan Thailand, Singapura dan beberapa wilayah Indonesia dapat mengikuti siaran Malaysia yang dipancarkan dari menara DTT berdekatan sempadan negara.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Mazlan Mahdi ketika dihubungi Utusan Malaysia juga mengesahkan perkara tersebut, tetapi enggan memberikan ulasan yang lebih lanjut.
Beliau sebaliknya menyifatkan perkembangan agak menyedihkan dan luar jangka itu sebagai permasalahan dalaman syarikat berkenaan berdasarkan pertimbangan nilai perniagaannya. – UTUSAN










