Misi tamatkan generasi perokok - Utusan Malaysia

Misi tamatkan generasi perokok

DIHARAPKAN pada masa depan akan wujud generasi yang tidak lagi kenal apakah itu rokok dan produk berkaitannya. – UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI menyambut baik cadangan Kementerian Kesihatan untuk membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok serta mewujudkan peruntukan berkaitan generational end game (generasi penamat) dalam persidangan Parlimen, tahun ini.

Sudah tiba masa untuk kita memutuskan rangkaian penularan generasi perokok yang sekian lama diwarisi dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain.

Dalam sebuah keluarga misalnya, generasi perokok yang ada sekarang kebanyakannya mengikut jejak langkah bapa atau saudara lelaki, di mana kelompok itu mewarisinya daripada datuk mereka.

Jika tidak diletak titik noktah, ia akan terus diwarisi oleh generasi akan datang pula. Jujurnya, kita tidak mahu rantaian penularan ini berterusan.

Justeru, kita menyokong penuh serta memuji cadangan berani dan yang bersifat kurang popular seperti ini kerana pada akhirnya memberi manfaat besar kepada generasi akan datang.

Hal ini penting kerana menurut sekumpulan profesional perubatan, kesihatan dan pengguna di negara ini yang turut menyokong cadangan tersebut, situasi merokok masih berdepan keadaan mencabar dengan peratusan merokok hanya turun sedikit daripada 23 kepada 21 peratus sejak 1986 hingga sekarang.

Menurut kelompok ini yang mewakili 57 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kos rawatan penyakit akibat tabiat merokok juga sudah lama menjadi beban kepada negara terutama terhadap sistem kesihatan dan kewangan kita.

Tambahan pula, masalah merokok di Malaysia dilaporkan menjadi semakin parah apabila terdapat lambakan produk merokok alaf baharu, iaitu rokok elektronik (vape) yang sudah pasti akan menyebabkan negara ini terlambat daripada mencapai the end game (penamat) dalam tempoh dijangkakan.

Pakar dari seluruh dunia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Konvensi Kerangka Kawalan Tembakau telah mengkaji dan meneliti beban masalah akibat produk tembakau di mana dunia dianggarkan bakal mencapai the end game ini pada 2030.

Apa yang dimaksudkan dengan the end game adalah penurunan peratusan merokok dalam kalangan penduduk sesebuah negara sehingga mencapai kurang lima peratus.

Ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, setakat ini Malaysia berada di tangga ke-72 paling ramai perokok di dunia dengan kadar 22 peratus atau tujuh juta penduduknya ialah perokok.

Lebih 10,000 kematian dicatatkan setahun di negara ini disebabkan komplikasi merokok dengan nilai kerugian ditanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti kira-kira RM20 bilion.

Jelas Khairy lagi, meskipun pelbagai kempen dibuat malah zon larangan merokok ditambah, tahap kesedaran dalam kalangan perokok tegar tetap sama apabila kita bandingkan dengan angka kemasukan pesakit jantung, kanser dan lain-lain.

BEBAS

Oleh itu, jika kita benar-benar beriltizam untuk melahirkan generasi bebas amalan merokok sekali gus mencapai hasrat ke arah mewujudkan Malaysia yang bebas rokok, maka perlu ada usaha dan inisiatif bersepadu dan terancang dari sekarang.

Dalam konteks ini, sudah tentu kita perlu memikirkan langkah terbaik bagaimana boleh memutuskan penularan wabak merokok ini daripada generasi bapa kepada anak, di samping pendekatan untuk menyedarkan generasi muda khususnya kanak-kanak sejak di bangku sekolah untuk katakan tidak kepada amalan merokok.

Hakikatnya, generasi perokok yang sedia ada sekarang boleh dikatakan terlalu liat untuk disedarkan dan sukar untuk memaksa mereka berhenti merokok.

Jujurnya, segala inisiatif baik berbentuk pendidikan kesedaran mahupun penguatkuasaan undang-undang dilihat masih belum mampu menyedarkan mereka malah tidak keterlaluan untuk dikatakan sudah menjadi umpama mencurah air ke daun keladi, iaitu mereka sudah tidak peduli lagi dengan segala nasihat yang diberikan.

Misalnya, sejak kita sibuk dengan urusan menangani penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pematuhan terhadap larangan merokok di premis makanan serta tempat awam kelihatan semakin longgar.

Pada hari ini, jelas kelihatan segelintir perokok sudah tidak takut dan semakin selesa menghidupkan kembali persekitaran tidak sihat, iaitu merokok di tempat larangan sehingga membahayakan kesihatan orang awam yang tidak bersalah.

Jadi, perlu ada pendekatan yang lebih berstrategi untuk menghalang kelompok perokok tegar ini daripada menyebarkan budaya dan amalan tidak sihat ini kepada generasi anak mereka.

Golongan ini perlu diingatkan kembali kesan merokok di hadapan anak-anak baik dari segi kesihatan terutamanya melalui asap yang dihidu mahupun dari segi contoh amalan yang tidak baik di hadapan anak.

Perokok yang bergelar bapa perlu lebih bertanggungjawab dan sentiasa ingat asap rokok yang dihembus itu lebih berbahaya daripada yang disedut perokok di mana mengandungi lebih 4,000 bahan kimia yang dikenal pasti sebagai penyebab kanser paru-paru.

Maka persoalannya, sampai bila kita mahu merisikokan kesihatan dan nyawa anak serta ahli keluarga yang lain?

Dalam pada itu, sudah tentu kini kita perlu memberi perhatian yang lebih kepada golongan muda terutamanya kanak-kanak agar dapat menamatkan generasi perokok.

Dalam hal ini, pendidikan awal mengenai bahaya asap rokok basi (secondary smoker) dan keburukan tabiat merokok sememangnya wajar disasarkan kepada golongan kanak-kanak bermula dari prasekolah, sekolah rendah dan remaja untuk mewujudkan generasi bebas amalan merokok.

Justeru, kita berharap semua pihak terlibat khususnya barisan ahli Parlimen akan menyokong penuh dan meluluskan akta baharu yang bakal dibentangkan ini.

Ini kerana ia dilihat lebih tegas sekali gus bukan sahaja boleh membantu menamatkan generasi perokok, malah kalau boleh kita mahu melahirkan generasi yang tidak lagi kenal apakah itu rokok dan produk berkaitannya.

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×