Siasatan satu intimidasi politik? - Utusan Malaysia

Siasatan satu intimidasi politik?

WAN Azizah Wan Ismail (tengah) hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan polis terhadap buku tulisan Tommy Thomas di Bukit Aman, Kuala Lumpur, Jumaat lalu. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH portal berita minggu lalu memetik Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai berkata, tindakan pihak berkuasa memanggil beberapa ahli Parlimen pembangkang dalam siasatan penerbitan memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness sebagai satu intimidasi politik.

Menurutnya, tindakan polis memanggil Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk siasatan buku itu merupakan kemuncak kepada intimidasi politik.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepatutnya menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini, bukan bertindak melakukan intimidasi politik terhadap ahli Parlimen pembangkang.

Beberapa ahli Parlimen termasuk Wan Azizah dipanggil hadir ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Mengikut Nurul Izzah lagi, PDRM sebagai satu aset negara sepatutnya tidak disalahgunakan untuk melakukan intimidasi politik terhadap ahli Parlimen pembangkang. Beliau berharap perkara ini akan segera dihentikan.

Tambahnya lagi: “Adalah kurang bijak untuk memanggil ahli Parlimen untuk di siasat sebegini.

Kita hormati anggota polis kerana mereka hanya melakukan tugas, tetapi punca kuasa pihak yang keluarkan arahan harus ambil tanggungjawab, lebih lagi apabila berkait dengan siasatan ke atas salah seorang peguam di negara kita.”

Bagaimanapun, mengikut Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Wan Azizah dipanggil ke Bukit Aman bukan untuk disiasat, tetapi bagi membantu siasatan berhubung buku tulisan Tommy itu. Siasatan polis adalah terhadap bekas Peguam Negara itu.

Wan Azizah memberitahu wartawan, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pegawai polis untuk menjawab beberapa soalan mengenai namanya yang disebutkan dalam buku Tommy itu.

Tiga tahun lalu, pada Januari 2019, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bersih 2.0 menggesa polis menghentikan intimidasi terhadap aktivis selepas dua aktivis mereka yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung penyerahan satu memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 April 2018.

“Adalah tidak diterima akal hanya kerana menghantar memorandum, mereka dipanggil untuk siasatan,” kata Bersih dalam kenyataan media.

Kedua-dua aktivis Bersih berkenaan menyerahkan memorandum kepada SPR bagi membuat aduan berhubung senarai daftar pengundi.

Pada 2 Julai 2021, sebuah NGO, Eliminating Deaths and Abuse In Custody Together (EDICT) mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai intimidasi oleh PDRM terhadap pihak tertentu seperti berikut:

1. EDICT memandang serius tindakan PDRM menyiasat penggiat seni, Amin Landak yang merupakan seorang kartunis dan Anna Har daripada Freedom Film Network berkenaan satu tayangan video mengenai penderaan dan kematian dalam tahanan yang diterbitkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

2. EDICT berpendapat tindakan polis menyiasat para pendesak perubahan yang bercakap mengenai isu ini sebagai satu siasatan yang sia-sia dan membuang masa.

PDRM sepatutnya memaparkan sikap serius dalam menangani dakwaan penderaan tersebut dan bukannya membuat intimidasi terhadap mereka yang cuba membawa isu tersebut.

KECAM

Pada 4 Ogos 2021, penganjur demonstrasi #Lawan iaitu Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menyifatkan tindakan polis datang ke rumah beberapa aktivis yang terlibat dalam protes itu untuk membuat siasatan sebagai satu bentuk intimidasi.

“Kami mengecam tindakan polis yang jelas telah dikerah oleh pihak atasan untuk ke rumah aktivis walhal mereka telah pun memberi kerjasama yang baik ketika soal siasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum ini,” kata SSR lagi.

Demonstrasi itu yang disertai ratusan berpakaian serba hitam, berarak ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk menggesa Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan ekoran penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi yang kian memburuk.

Pada 24 Januari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh dilihat sebagai tekanan kepada para peserta dan penganjur demonstrasi #TangkapAzamBaki tempoh hari.

Dua hari selepas itu, pada 26 Januari, Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir, menyatakan ramai peserta himpunan #TangkapAzamBaki telah dipanggil oleh polis untuk disoal siasat.

Beliau melihat tindakan polis ini sebagai satu intimidasi serta cubaan untuk menakutkan anak muda yang telah turun ke jalan raya menyertai himpunan awam itu.

Terkini, pada 29 Januari lalu, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.

Maszlee baru-baru ini hadir ke IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum oleh AMK, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan beberapa NGO di bangunan Parlimen, 20 Januari lalu.

Intimidasi jenayah (criminal intimidation) ditakrifkan dalam Seksyen 503 Kanun Keseksaan sebagai merangkumi segala bentuk ugutan melakukan kecederaan atau mudarat kepada badan, reputasi atau harta orang lain, atau mana-mana orang lain yang orang itu ada kepentingan dengan niat untuk menakutkan orang itu supaya ia tidak melakukan sesuatu atau melakukan sesuatu.

Apabila seorang itu disabitkan dengan kesalahan intimidasi jenayah, ia boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sekiranya jenayah intimidasi itu melibatkan ugutan melakukan kematian atau kecederaan yang serius, hukuman lebih berat (penjara tujuh tahun) boleh dikenakan.

Walaupun intimidasi politik bukan satu jenayah bagi maksud Seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan, ia tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, apatah lagi memandangkan hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×