PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) kini sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpinnya sendiri.
Beliau berkata, meskipun media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO, kesahihan berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan.
Namun katanya, sekiranya perkara itu benar, maka ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.
“Parti yang suatu ketika dulu mendabik dada akan menggantikan UMNO sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri.
“Maka apakah rasional dan kewajarannya untuk rakyat pula diminta supaya meyakini parti tersebut sedangkan sebahagian pimpinan akar umbinya tidak?” Katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, perkara yang terjadi itu sebenarnya merupakan perbezaan ketara antara sesuatu yang tulin dan tiruan, autentik dan rekaan.
“Pastinya yang original adalah berkualiti berbanding ciplak,” ujarnya.
Menurut beliau, asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah begitu lama disemat dalam parti ini.
Katanya, asas perjuangan itu asli, bukan retorik atau cuma agitasi politik dan bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki, sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.
“Kesimpulannya, UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur mementingkan rakyat dan negara dalam perjalanan politiknya.
“Parti politik yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak real dan palsu,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang bersama 23 ketua cawangan dan ahli jawatankuasa mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Susulan itu, beberapa pihak yakin ramai lagi daripada Bersatu yang akan mengikut jejak langkah Mazlan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti. – UTUSAN











